Perhimpunan Agung UMNO Bawa Agenda Naluri Hati Rakyat Perkukuh Parti

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang bakal diadakan penghujung bulan ini bakal menjadi penanda aras kepada perjuangan parti untuk masa hadapan.

Bagi Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Sabah, Arsad Muhammad Yusof beliau berkata perhimpunan kali ini sebagai medan untuk ahli UMNO merenung kembali kepayahan membina parti ini selepas mengharungi pahit manis termasuk ketika mengalami kekalahan mengejutkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

“Oleh itu sahabat-sahabat sekalian kita harus mengambil pelajaran bahawa kunci keutamaan kita adalah memperkuatkan parti ini.

“Kita perlu bersatu dan teguhkan kembali perpaduan di antara kita agar parti ini kita julang dan kita kembalikan ke landasan yang benar.

“Di mana suatu hari nanti pada pilihan raya umum ke-15, kita akan kembali memerintah dan menerajui negara ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, bagi Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Kelantan, Saipuddin Mohamad berkata persidangan kali ini membawa dimensi baharu kepada parti memandangkan senario politik negara sudah berubah.

“Perhimpunan Agung UMNO kali ini membawa naluri rakyat serta ahli-ahli UMNO di peringkat bahagian dan cawangan.

“Suasana politik yang dulu dan hari ini sudah berubah serta memerlukan kita membawa satu wadah yang baharu untuk rakyat menyokong UMNO,” jelasnya.

Tambahnya, UMNO juga perlu menampilkan perubahan yang cukup besar untuk meyakinkan rakyat bahawa parti inilah yang sentiasa prihatin dengan kebajikan mereka.

“UMNO perlu dominan untuk pilihan raya akan datang dan memberikan yang luar biasa kepada rakyat khususnya orang muda yang menjadi tonggak negara pada suatu hari nanti,” jelasnya.

Dilaporkan, Perhimpunan Agung UMNO 2020 bakal diadakan pada 27 dan 28 Mac 2021 (Sabtu dan Ahad) setelah beberapa kali tertangguh ekoran pandemik COVID-19 dan persidangan kali ini bukanlah berlangsung sebagaimana kebiasaan pada tahun-tahun sebelumnya kerana akan dilaksana secara bersemuka dan juga secara maya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.