Empangan Hidroelektrik Di Neggiri Dijangka Dapat Atasi Masalah Banjir

KOTA BHARU, 28 Feb – Projek pembinaan empangan jana kuasa hidroelektrik yang akan dibina di Neggiri, Gua Musang dijangka dapat mengatasi masalah banjir di Kelantan.

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sekiranya ada empangan berkenaan itu nanti, ia akan menjadi sistem tebatan banjir yang dapat menyekat pengaliran air ke dalam sungai yang boleh menyebabkan berlakunya banjir.

Beliau berkata empangan itu juga mampu menakung jumlah air hujan dan dapat menyekat air turun ke dalam sungai sekali gus dapat mengurangkan air di dalam sungai.

“Sebelum ini, empangan jana kuasa hidroelektrik telah dibina di Cameron Highlands, Pahang; Sungai Perak, Perak dan juga di Tasik Kenyir, Terengganu.

“Jadi dalam tempoh terdekat pada Mac ini, saya akan adakan pertemuan dengan kerajaan negeri berhubung perkara ini dan akan membuat pengumuman rasmi mengenai projek ini nanti,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena Program Ceria ke Sekolah TNB di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam jangka masa panjang, pihaknya juga dalam usaha untuk mempertingkatkan tenaga elektrik yang boleh diperbaharui termasuk solar dan juga hidroelektrik.

“Dalam bekalan elektrik ini ada empat jenis penjanaan kuasa elektrik iaitu arang batu, gas, hidro dan solar. Jadi TNB dalam usaha untuk meningkatkan tenaga yang boleh diperbaharui termasuk hidro dan solar selain usaha untuk ke arah teknologi hijau,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata TNB memperuntukkan sebanyak RM3 juta menerusi Program Ceria ke Sekolah TNB berbanding hanya RM1 juta tahun lepas.

“Tahun ini kita menaikkan peruntukan bagi program berkenaan menerusi program tanggungjawab sosial korporat TNB untuk membantu lebih 30,000 pelajar sekolah daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Bagi Kelantan, TNB telah memilih 1,400 pelajar miskin yang akan menerima sumbangan berbentuk peralatan asas persekolahan termasuk pakaian seragam sekolah, beg dan alat tulis,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.