Cadang Wujud Wi-Fi Percuma Di PPR DBKL – Annuar

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Kementerian Wilayah Persekutuan sedang meneliti keperluan bagi mewujudkan perkhidmatan Wi-fi percuma di setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata perkhidmatan itu ditawarkan bagi membantu pelajar daripada golongan B40 mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan lebih selesa.

Beliau berkata penelitian perlu dilakukan kerana ia melibatkan beberapa kos termasuk modal dan operasi.

“Di beberapa jalan di pusat tumpuan perniagaan (CDB) Kuala Lumpur sedikit masa lagi akan ada perkhidmatan Wi-fi percuma, namun saya berpandangan dalam kawasan PPR juga perlu ada perkhidmatan yang sama.

“Malah, pengalaman kita sepanjang wabak COVID-19 ini membuktikan pembelajaran online sudah menjadi norma baharu, dan walaupun sekolah akan dibuka kaedah itu saling melengkapi pembelajaran formal di sekolah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program penyerahan bantuan Riang Ria Kembali ke Sekolah anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan yang melibatkan beberapa PPR di sini, hari ini.

Bantuan persediaan persekolahan seperti baucar buku, beg sekolah dan pelitup muka itu melibatkan peruntukan RM3 juta disumbangkan kepada 31,838 pelajar terpilih dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 dari seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.