Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Diharap Bantu Usaha Pembukaan Sempadan

JOHOR BAHRU, 23 Feb – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan diharap dapat membantu usaha pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura sekali gus merancakkan lagi ekonomi rentas sempadan.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata apabila rakyat kedua-dua negara telah diberikan suntikan vaksin, pergerakan rentas sempadan diyakini lebih selamat dan ekonomi Johor dapat pulih lebih awal berbanding negeri-negeri lain.

“Alhamdulillah, Johor sudah menerima vaksin COVID-19 fasa pertama bagi negeri ini yang tiba di Johor Bahru pada Ahad (21 Feb).

“Kehadiran vaksin berkenaan pastinya membawa sinar dan harapan baharu bagi negara, khususnya negeri Johor dalam memerangi dan memutuskan rantaian pandemik COVID-19 yang sudah lebih setahun menghantui dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri sudah bersedia melaksanakan program imunisasi itu termasuk mengenal pasti pusat vaksinasi di setiap daerah dan menyediakan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) terlatih untuk memberikan suntikan vaksin.

Hasni berkata beliau bersama barisan Exco serta kepimpinan tertinggi kerajaan negeri Johor akan menjadi kumpulan pertama di negeri itu menerima suntikan vaksin dalam masa terdekat.

Katanya, dengan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, rakyat mampu menjalani kehidupan dengan lebih yakin dan selamat serta melindungi diri, keluarga dan masyarakat.

“Pada masa sama, saya berharap Bangsa Johor akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Marilah kita bersama-sama terus berusaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19,” katanya.

Dua hari lepas, Johor menerima sebahagian daripada bekalan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech yang tiba di Malaysia untuk ditempatkan di empat pusat simpanan vaksin (PSV) di negeri itu.

Bekalan vaksin itu adalah sebahagian daripada kumpulan pertama yang tiba di JOhor Bahru dari Singapura melalui Tambak Johor. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.