PUNB, KBS Sasar Latih 1,500 Usahawan Menerusi MyPRENEUR

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi program pembangunan keusahawanan, Malaysia Youth Entrepreneur (MyPRENEUR) untuk mengalakkan penglibatan lebih ramai golongan belia dalam bidang keusahawanan di negara ini.

Pengerusi PUNB Tan Sri Noh Omar berkata, inisiatif MyPRENEUR ini menjadi nilai tambah kepada usaha PUNB dalam melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera terutamanya dalam kalangan belia.

Menurutnya, menerusi kerjasama itu, PUNB menyasarkan untuk melatih kira-kira 1,500 kumpulan belia yang telah dikenal pasti oleh KBS yang mempunyai potensi keusahawan untuk dikembangkan menerusi program-program yang dilaksanakan PUNB.

“Antara program yang sudah dikenal pasti ialah penganjuran Program PUNB Uni-Challenge iaitu program keusahawanan berkonsepkan pertandingan dengan fokus utama kepada belia yang dilatih di Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan dan sesi BizKonsultansi bersama PUNB iaitu sesi konsultasi perniagaan kepada belia dengan memberikan khidmat nasihat, panduan serta tunjuk ajar dalam menentukan hala tuju perniagaan mereka.

“Selain itu, PUNB akan menawarkan sesi ‘coaching’ bersama pakar industri pilihan yang telah dikenal pasti oleh PUNB,” katanya dalam satu kenyataan sempena pelancaran MyPRENEUR PUNB KBS yang diadakan secara maya di akaun rasmi Facebook PUNB dan KBS, hari ini.

Majlis itu turut melibatkan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Noh berkata menerusi kerjasama ini, belia yang berkelayakan akan dipelawa untuk menyertai program JUMPER Start-Up.

Katanya, program latihan sangkut bersama mentor dalam industri pilihan ini akan berlangsung sehingga lapan bulan dan dalam tempoh itu, peserta akan ditempatkan di premis perniagaan mentor untuk mempelajari selok-belok dunia perniagaan.

“Menariknya, sebaik tamat latihan, mereka layak memohon geran perniagaan berjumlah RM10,000 dan memohon pembiayaan perniagaan untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Noh berkata, pelaksanaan program yang dirancang ini akan dipantau rapi untuk memastikan ia memberi impak dan hasil yang diharapkan iaitu melahirkan usahawan baharu, sekali gus mencipta rantaian peluang pekerjaan untuk belia di negara ini. –BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.