Tiada Kluster Baharu Rentas Negeri Sejak 1 Feb – Dr Adham

PUTRAJAYA, 10 Feb – Tiada kluster baharu rentas negeri direkodkan sejak 1 Februari sehingga semalam hasil keberkesanan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) yang bermula 16 Januari lalu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurutnya, sejak 16 Disember hingga 30 Januari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 31 kluster rentas negeri direkodkan melibatkan sejumlah 4,376 kes positif COVID-19.

Sepanjang tempoh itu, kes jangkitan rentas negeri telah berlaku di lapan negeri iaitu Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata kes jangkitan itu adalah berpunca dari enam negeri asal iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Melaka dan Sabah.

“Ini adalah perkembangan yang sangat baik sebagai menggambarkan keberkesanan penguatkuasaan yang lebih ketat telah dilaksanakan,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

“Perkembangan ini juga menunjukkan peningkatan kesedaran dalam kalangan pelbagai pihak dan keberkesanan pematuhan untuk tidak merentas sempadan di samping mengamalkan normal baharu yang diulangi dalam nasihat KKM setiap masa,” katanya.

Dr Adham berkata daerah Bera dan Lipis di Pahang telah bertukar kepada zon hijau sejak dua hari lepas.

“Oleh itu nasihat saya kepada penduduk Lipis dan Bera adalah diharapkan mereka boleh melaksanakan Program Pengurangan Risiko Daerah (DRRP) supaya dapat mengekalkan kawasan zon hijau tersebut dan mengelak jangkitan COVID-19 baharu,”katanya.

“Kita jangkakan dengan tidak ada kes-kes kluster rentas negeri ini dan tidak ada rekod kes-kes baharu, didapati ada lebih kurang tujuh atau lapan daerah lagi akan menjadi hijau dalam masa terdekat,” katanya.

Dengan berbaki 10 hari lagi sebelum PKP 2.0 berakhir, Dr Adham berkata KKM memohon agar larangan rentas negeri dikekalkan seperti sekarang kerana keupayaan dan usaha untuk melandaikan keluk COVID-19 sangat penting untuk diteruskan.

“Kita telah nampak petanda kes telah menurun walaupun ujian di lapangan masih banyak. Ia juga ditunjukkan dengan kadar kebolehjangkitan (RO) telah berada di bawah paras 1 untuk negara kita, dengan RO semalam mencatatkan 0.91.

“Bagaimanapun, kita lihat RO di beberapa negeri masih lagi mencatatkan RO 1.10 ke 1.13 tetapi kita dapat laksanakan prinsip cepat kesan, cepat uji dan cepat asing dan rawat dan kita juga melihat kadar kesembuhan telah meningkat kepada 79 peratus ketika ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.