Kampung Teluk Di Setiawan, Perak Dikenakan PKPD Mulai Esok

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Susulan 16 kes positif COVID-19 dikesan di Kampung Teluk, Setiawan, Perak, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan berkenaan selama 14 hari bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu diambil setelah penilaian risiko dilakukan bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ekoran peningkatan kes COVID-19 di kawasan itu.

“Sehingga 9 Feb 2021, KKM telah melaksanakan 43 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 16 kes positif COVID-19 direkodkan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar yang melibatkan 400 penduduk dan untuk mengawal jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Sementara itu, beliau berkata seramai 589 individu ditahan kerana ingkar PKP menerusi operasi pematuhan di seluruh negara, semalam.

Ismail Sabri berkata daripada jumlah itu, 543 dikompaun, 42 individu direman manakala empat dijamin.

Antara kesalahan yang paling banyak dikesan ialah tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan rentas daerah serta negeri tanpa kebenaran.

Pada masa sama, beliau berkata seramai 55 pendatang tanpa izin ditahan dalam Op Benteng di seluruh negara, manakala sebanyak tujuh kenderaan darat serta tiga kapal dan bot turut disita.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 88 bot dan kapal di perairan negara melalui 11 aktiviti penglihatan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.