GRS Atur Persiapan Hadapi PRU15 – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 10 Feb – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini sedang giat mengatur pelbagai pelan dan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) akan datang, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, berkata GRS telah mengadakan mesyuarat persiapan PRU baru-baru ini bagi menyelaras segala persiapan yang dilakukan, bagaimanapun beliau tidak menyatakan tarikh mesyuarat itu berlangsung.

“Kita persiapkan semua bagi pastikan calon GRS menang di kerusi Parlimen masing-masing pada PRU nanti…semua parti dalam GRS akan bersama-sama pastikan kemenangan itu,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan kad ucapan Selamat Tahun Baharu Cina dan limau mandrin kepada wakil parti komponen BN di sini.

GRS terdiri daripada parti gabungan daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), manakala BN di negeri ini terdiri daripada komponen UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.