Amir Hamzah Azizan Dilantik Sebagai CEO Baharu KWSP

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)nya berkuat kuasa 1 Mac ini.

Amir Hamzah yang sebelum ini merupakan Presiden/CEO Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menggantikan Tunku Alizakri Alias yang telah menerajui KWSP semenjak 20 Ogos 2018.

Dalam kenyataan hari ini, KWSP berkata Amir Hamzah membawa bersama pengalaman beliau selama 25 tahun dalam menerajui beberapa organisasi korporat dengan memulakan kerjaya di Kumpulan Shell sebelum dilantik sebagai CEO di MISC Berhad, Petronas Dagangan Berhad, Petronas Lubricants International, Icon Offshore Berhad dan Themed Attractions Resorts and Hotels Sdn Bhd.

Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata Tunku Alizakri akan meneruskan sumbangannya dalam perkhidmatan awam melalui kapasiti yang berbeza.

“Bagi pihak KWSP, saya ingin menzahirkan setinggi penghargaan kepada Tunku Alizakri di atas perkhidmatan yang cemerlang kepada KWSP dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.

“Pada masa yang sama, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Amir Hamzah di atas pelantikan beliau sebagai CEO KWSP yang baharu. Kami percaya ciri-ciri kepimpinan dinamik yang beliau miliki serta pengalaman luasnya, mampu membantu KWSP ketika mengharungi tempoh yang kompleks dan mencabar dalam sejarah KWSP,” katanya.

TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini mengumumkan Datuk Ir Baharin Din akan mengambil alih jawatan CEO berkuat kuasa 1 Mac. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.