Terbuka Malaysia: Reezal Merican Sedia Bantu BAM Jika Perlu

KUALA LUMPUR, Feb 8 – Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berjanji untuk membantu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam penganjuran kejohanan Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia.

Beliau berkata walaupun penganjuran kejohanan antarabangsa dengan penyertaan atlet luar negara dilihat masih jauh, pihaknya yakin perkara itu dapat dijayakan menerusi konsep gelembung sukan seperti dua kejohanan iaitu Terbuka Thailand dan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bangkok, baru-baru ini.

Katanya, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bagi membincangkan perkara berkenaan dengan lebih teliti termasuk pulangan pelaburan (ROI) kepada Persatuan Badminton Thailand (BAT).

“Kalau ada keperluan dan peluang bagi sukan seperti badminton untuk Kementerian Belia dan Sukan bantu, saya akan bantu. Kalau kita berjaya menggunakan konsep gelembung sukan sebagaimana dilakukan oleh Thailand, mungkin kita boleh lakukan (anjur kejohanan).

“Tetapi ia bergantung kepada keupayaan dan kesesuaian penganjur sendiri kerana adakalanya kos lebih tinggi,” katanya dalam satu temu bual pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan bahawa nasib kejohanan Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung pada 31 Mac hingga 4 April serta Masters Malaysia pada 6-11 April, kabur dan berkemungkinan besar ditangguhkan hingga Jun kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Reezal Merican berkata KBS telah mengemukakan cadangan dan mekanisme baharu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pembukaan sektor sukan menerusi konsep gelembung sukan, termasuk untuk penganjuran kejohanan domestik. – BERNAMA