PKPD Penjara Bentong, Penjara Taiping Dilanjutkan Sehingga 22 Feb – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokasi iaitu Penjara Bentong di Pahang dan Penjara Taiping di Perak serta kuarters kakitangan penjara terbabit yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan 14 hari lagi iaitu sehingga 22 Feb.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelanjutan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko bersama dengan pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagi Penjara Bentong dan kuarters kakitangannya, sehingga kini 2,085 ujian saringan telah dilaksanakan yang melibatkan tahanan, kakitangan serta kontak rapat dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 767 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“Selain itu, KKM turut mengesahkan masih terdapat peningkatan kes positif di penjara itu di mana sebanyak 13 kes positif terakhir telah dilaporkan pada 5 Feb lepas,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi Penjara Taiping, KKM telah melaksanakan 544 ujian saringan yang menyaksikan sebanyak 112 kes positif COVID-19 merangkumi 90 banduan, 21 kakitangan dan seorang ahli keluarga.

Katanya sejumlah 40 baki sampel saringan sedang menunggu keputusan dan terdapat tahanan yang masih bergejala.

Ismail Sabri juga berkata kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Blok Transit (Blok Muhasabah) Penjara Jelebu, Negeri Sembilan hari ini seperti yang dijadualkan.

Berhubung tangkapan ingkar prosedur operasi standard PKP, beliau berkata seramai 789 individu ditahan semalam dan daripada jumlah itu, 764 orang dikompaun, 21 direman manakala empat lagi dijamin.

Katanya Kementerian Sumber Manusia juga memaklumkan seramai 7,003 pekerja asing telah menjalani ujian saringan semalam dan daripada jumlah itu, 28 orang disahkan positif COVID-19.

Seramai 20 pendatang tanpa izin pula telah ditahan dalam Op Benteng manakala empat kenderaan darat turut dirampas.

Beliau berkata seramai 1,013 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa semalam dan mereka telah ditempatkan di stesen kuarantin di seluruh negara. – BERNAMA