Majikan Wajib Maklum Tempat Tinggal Pekerja Asing Bagi Kelulusan Perintah Pembangunan

KOTA BHARU, 7 Feb – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan mewajibkan setiap majikan untuk memaklumkan tempat tinggal pekerja asing yang bakal diambil bekerja dalam mendapatkan kelulusan perintah pembangunan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata ini bagi memastikan mereka tidak lagi tinggal di rumah kongsi yang sesak selaras dengan usaha kerajaan membendung penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing di Wilayah Persekutuan.

“Kita jadikan syarat itu sebagai mandatori tetapi ia akan dilaksanakan secara berperingkat kerana perlu menyediakan seberapa banyak kuarters pekerja berpusat (CLQ),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Cakna Rakyat Sanitasi Parlimen Ketereh di Masjid Haji Tuan Guru Haji Musa di Bukit Marak dekat sini hari ini.

Beliau berkata CLQ merupakan konsep kediaman bagi syarikat pelbagai sektor dalam menyediakan tempat tinggal kepada pekerja asing dengan pelbagai kemudahan termasuk pengangkutan awam.

Katanya setakat ini, KWP telah mengenal pasti lima lokasi di Kuala Lumpur antaranya berdekatan Pasar Borong Selayang dengan keluasan antara 0.6 hingga 1.6 hektar selain Presint 20 di Putrajaya berkeluasan 10.1 hektar untuk pembinaan CLQ yang keseluruhannya mampu menempatkan antara 20,000 hingga 40,000 pekerja asing.

Annuar berkata pihaknya juga akan meningkatkan penyelarasan antara Pihak Berkuasa Tempatan dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam mengenal pasti bilangan serta keberadaan pekerja asing di tapak pembinaan.

“KWP mengeluarkan lesen kelulusan projek manakala KSM mengeluarkan lesen atau permit kerja tetapi kadang-kadang tiada penyelarasan sebab kita tidak tahu siapa yang datang kerja kerana bukan tanggungjawab bandaraya (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kemudian mereka (pekerja asing) datang kerja dan diletakkan di tapak-tapak bangunan dalam keadaan bersesak dan telah terbukti tiada sebarang keraguan lagi, di situlah membiaknya penularan COVID-19,” katanya.

Beliau turut menggesa persatuan penduduk membuat hebahan bagi meningkatkan kesedaran dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khususnya selepas kerajaan memberi kelonggaran seperti membenarkan operasi pasar malam dan kedai gunting selain ketibaan Tahun Baharu Cina.

“Wilayah Persekutuan, khususnya Kuala Lumpur, mesti diuruskan dengan cara berbeza kerana banyak aktiviti dan kepadatan penduduk juga tinggi. Jadi kalau COVID-19 merebak, maka ia akan merebak pantas sebab itu kita menyeru semua persatuan termasuk JMC (Jawatankuasa Pengurusan Bersama) setiap kondominium untuk menguatkuasakan (SOP) secara berasaskan komuniti,” katanya.

Annuar berkata beliau juga telah meminta penguatkuasa DBKL membantu pihak tentera dan polis memantau pematuhan SOP di Wilayah Persekutuan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.