Lebih 6 Juta Ujian Saringan RT-PCR, RTK Antigen Dilaksanakan – Dr Adham

JOHOR BAHRU, 7 Feb – Sebanyak 6,414,565 ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) dan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen telah dijalankan sepanjang tahun 2020 sehingga Jumaat lepas (5 Feb).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata daripada jumlah itu, sebanyak 3,332,554 merupakan ujian saringan RT-PCR yang dijalankan pada 2020.

“Pada tahun ini pula, ujian saringan meningkat dengan adanya ujian yang perlu dilaksanakan oleh majikan kepada pekerja-pekerja yang bersasar iaitu sebanyak 1,188,284 ujian RT-PCR iaitu satu jumlah yang tinggi untuk satu bulan lima hari yang telah kita lalui,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga berkata sebanyak 1,893,727 ujian RTK telah dilaksanakan sehingga 5 Feb lepas.

“Ini menunjukkan kerajaan mengambil perhatian terhadap ujian RTK Antigen atau RTK-PCR supaya kita dapat mengesan kes COVID-19. Cepat kita uji, cepatlah kita asingkan sekiranya kes-kes bergejala atau tidak,” kata Ahli Parlimen Tenggara itu.

Dr Adham berkata penubuhan Pusat Penilaian COVID-19 pada bulan lepas juga penting bagi memantau kes yang tidak bergejala dan perlu diberikan perhatian sama ada individu terbabit dibenarkan duduk di rumah untuk isolasi atau perlu ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Kita juga dapat maklum dengan adanya perintah kerajaan untuk majikan dan pengusaha perlu melaksanakan ujian bersasar kepada pekerja mereka… kita dapati ada peningkatan sedikit pada jumlah kes yang perlu kita kesan cepat dan kita rawat.

“Kadar kesembuhan kita juga sudah meningkat dengan baik dan kita yakin segala bentuk pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Baru-baru ini, beberapa pihak termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyarankan agar kerajaan melaksanakan saringan besar-besaran dalam usaha mengekang penularan pandemik itu. – BERNAMA