Vaksin: KKM Perlu 12 Juta Picagari ‘Low Dead-Volume’ – Adham

MELAKA, 6 Feb – Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan 12 juta picagari jenis low dead-volume bagi membuat suntikan terhadap 20 peratus atau enam juta penerima fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula hujung bulan ini.

Menterinya Datuk Seri Adham Baba berkata picagari jenis itu amat diperlukan kerana vaksin perlu disuntik dalam dos tertentu kepada setiap individu bagi memastikan keberkesanannya.

“Keperluan terhadap picagari ini amat penting supaya kita tidak melakukan pembaziran kerana ada sejumlah dos yang perlu kita gunakan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau saringan COVID-19 di sebuah ladang penternakan ayam di Serkam di sini.

Picagari low dead-volume amnya merujuk kepada picagari sifar pembaziran, sekali gus memastikan penerima suntikan menerima keseluruhan dos vaksin yang diperlukannya.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata bekalan picagari itu dijangka diterima sebelum program vaksinasi COVID-19 bermula dan akan ditambah dari semasa ke semasa.

Dr Adham turut mengulangi setiap individu akan menerima dua dos vaksin dalam senggang masa 21 hari bagi memastikan keberkesanan hingga 95 peratus.

Mengulas perkembangan lain, beliau berkata ladang penternakan ayam berkeluasan 21 hektar itu akan ditutup buat sementara waktu bagi memudahkan pihak berkuasa mengawal Kluster Industri Serkam yang dikesan pada 1 Feb lalu.

Katanya KKM sedang membuat saringan terhadap 1,871 pekerja di ladang tersebut membabitkan 1,428 warga asing dan 443 rakyat tempatan.

“Sejak kluster ini dikesan, 604 individu telah dilaporkan positif COVID-19 hingga semalam, dengan sebahagian pekerja menjalani rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Selangor dan sebahagiannya menjalani kuarantin di asrama pekerja,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.