Kementerian Wilayah Persekutuan Bakal Bina 12,000 Unit Kediaman Di Putrajaya

KOTA BHARU, 6 Feb – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan membina 12,000 unit kediaman berharga RM200,000 di bawah program Residensi Prihatin di Putrajaya.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata projek itu akan dilancarkan pada 22 Feb ini dan dijangka mengambil tempoh 24 hingga 30 bulan untuk siap.

Annuar berkata kira-kira 8,000 unit yang bakal dibina itu merupakan lima projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia yang dijenamakan semula di bawah Residensi Prihatin, dengan sebahagian projek tersebut tergendala sebelum ini.

“Sementara empat projek lagi melibatkan 4,000 unit rumah akan dibuat secara permohonan cadangan (RFP) untuk pemaju dipilih secara terbuka,” katanya kepada pemberita selepas hadir gimik penyerahan hamper Tahun Baharu Cina di Taman Puspa, Kok Lanas, dekat sini hari ini.

Menurut Annuar, projek tersebut akan dibangunkan di kawasan strategik termasuk berhampiran pengangkutan awam, antaranya di Presint 7 dan 9.

Kementerian akan membuka permohonan kepada pembeli, dengan keutamaan kepada penjawat awam dan golongan muda yang berkeluarga, pada 23 Feb ini, katanya.

Beliau yakin projek tersebut akan mendapat sambutan memandangkan ramai pemohon sebelum ini gagal membeli rumah berharga RM300,000 menerusi Program Rumah Wilayah yang ditawarkan sebelum ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.