Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Usaha Vaksinasi Terbesar Dalam Negara

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan merupakan program vaksinasi terbesar yang pernah dilaksanakan di Malaysia dengan ‘roll out’ pelaksanaannya akan bermula hujung bulan ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu disasar akan menerima vaksin ini yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.

“Vaksin COVID-19 adalah antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan COVID-19. Kerajaan telah berjaya menempah vaksin COVID-19 dengan penghantaran pertama bekalan vaksin dijadualkan tiba di negara kita bulan ini.

“Penghantaran pertama vaksin COVID-19 ini melibatkan vaksin keluaran syarikat Pfizer dan BioNTech yang telah menunjukkan kadar keberkesanaan yang tinggi iaitu pada tahap 95 peratus,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen serta platform media sosial hari ini.

Muhyiddin berkata program imunisasi ini akan melibatkan tiga fasa, dengan fasa pertama akan melibatkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan.

“Fasa ini amat penting untuk melindungi ‘frontliners’ kita yang berada di barisan hadapan dalam memerangi pandemik COVID-19. Fasa pertama program imunisasi ini dijadualkan tamat pada bulan April tahun ini,” katanya.

Fasa kedua mulai April hingga Ogos 2021 pula melibatkan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19, iaitu warga emas dan golongan rentan yang berusia 60 tahun ke atas, mereka yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi termasuk orang kurang upaya (OKU) dan seramai 9.4 juta orang dianggarkan akan menerima vaksin.

“Bagi fasa ketiga, baki penerima vaksin merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas dan ia akan bermula bulan Mei 2021 hingga Februari 2022. Fasa ini penting untuk membentuk perlindungan kelompok atau ‘herd immunity’ dan seterusnya mengawal pandemik ini secara menyeluruh,” katanya

Sementara itu katanya jemaah menteri telah bersetuju melantik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin selaku menteri penyelaras program vaksinasi yang akan mengetuai satu pasukan petugas khas dalam urusan pelaksanaan program khusus dalam isu logistik dan penyelarasan dengan negeri serta agensi kerajaan.

“Ini bagi membolehkan Kementerian Kesihatan terus memberi tumpuan kepada fungsi perkhidmatan kesihatan dalam menangani penularan wabak COVID-19 yang masih menunjukkan trend membimbangkan,” katanya.

Bagi memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan memudahkan rakyat, Muhyiddin berkata lebih 600 pusat simpanan yang juga pusat pemberian vaksin akan dibuka di seluruh negara.

Katanya arahan kepada pihak berkuasa telah diberikan untuk memanfaatkan pelbagai kemudahan termasuk fasiliti kesihatan awam dan swasta, stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai serta universiti sebagai pusat vaksinasi dengan menggunakan peruntukan di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Perdana menteri turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan segala sumber yang ada bagi menjayakan program ini, dengan menghulurkan bantuan sama ada dari aspek perubatan dan bukan perubatan, khususnya dalam aspek pendidikan kesihatan di pusat vaksinasi.

Penyertaan sukarelawan, mahasiswa dan mahasiswi, pemimpin masyarakat, para agamawan, badan bukan kerajaan, Persatuan Bulan Sabit Merah, St. John’s Ambulance dan kerjasama pihak swasta turut dialu-alukan dalam program itu.

“We are all in this together, and only together can we win. (Kita bersama dalam kancah perjuangan ini, dan hanya bersama kita boleh berjaya) Lindung diri, lindung semua,” kata beliau dengan menambah maklumat lanjut dan lengkap seperti tatacara pendaftaran dan lokasi pemberian vaksin akan dimaklumkan kemudian. – BERNAMA