Malaysia Daftar Tujuh Kawasan Sebagai Tanah Ramsar

PUTRAJAYA, 2 Feb – Malaysia telah mendaftarkan tujuh kawasan sebagai Tapak Ramsar, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Tapak tersebut ialah di Tasek Bera di Pahang; Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai di Johor; Kuching Wetland National Park, Sarawak; Lower Kinabatangan-Segama Wetlands dan Kota Kinabalu Wetlands di Sabah.

“Tapak-tapak ini dilindungi di bawah undang-undang perhutanan, taman negeri dan tanah sama ada sebagai hutan simpanan kekal, taman negeri atau kawasan perlindungan tanah lembap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sempena Hari Tanah Lembap Sedunia 2021.

Hari ini, 2 Feb ialah ulang tahun ke-50 penubuhan Konvensyen Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa atau lebih dikenali sebagai Konvensyen Ramsar pada 2 Feb 1971.

Shamsul Anuar berkata kawasan tanah lembap yang dilindungi hanyalah sebahagian kecil daripada keluasan tanah lembap yang telah direkodkan.

“Masih terdapat kawasan tanah lembap yang tidak mempunyai mekanisme perlindungan yang khusus,” katanya yang turut menyeru sokongan dan kerjasama kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pihak swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat umum bagi memastikan inisiatif dan program berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan tanah lembap dapat dilaksanakan.

Di Malaysia, kata beliau, tanah lembap meliputi kawasan tanah gambut, paya bakau, sungai, tasik dan pesisiran pantai yang menjadi habitat kepada kepelbagaian spesies flora dan fauna terutamanya burung air yang bermigrasi.

Tanah lembap mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi iaitu dari segi nilai ekonomi dalam bentuk hasil hutan, laut dan pelancongan serta faedah perkhidmatan ekosistem seperti perlindungan daripada bencana tsunami, kawasan tadahan air, kawasan pembiakan, kawalan banjir dan kawasan tadahan karbon, kata beliau.

“Kira-kira 40 peratus daripada spesies seluruh dunia tinggal dan membiak di kawasan tanah lembap dan lebih 200 jenis ikan baru ditemui setiap tahun di tanah lembap darat,” katanya. – BERNAMA