Yang Dipertua Negeri P. Pinang, Sabah Dahului Senarai Penerima Darjah Kebesaran W. Persekutuan

PETALING JAYA, 1 Feb – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Dr Abdul Rahman Abbas dan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin mendahului senarai 335 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021.

Mereka menerima Darjah Kebesaran Pangkat Pertama iaitu Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Turut menerima SUMW ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam; isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib; Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Selain itu, seramai 24 individu dianugerahkan Darjah Kebesaran Pangkat Kedua iaitu Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri termasuk Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan.

Penerima lain termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Rosida Jaafar; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Suhaime Mahbar; Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan serta Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Yusof Ismail.

SMW turut dikurniakan kepada mereka yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan Kuala Lumpur iaitu Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mahadi Che Ngah; bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Datuk Dr Noordin Ab Razak serta pakar bahasa yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Prof Datuk Dr Awang Sariyan.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang juga Ahli Dewan Negara Senator Ras Adiba Radzi antara 81 individu yang dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga iaitu Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Penerima lain termasuk Menteri Kanan Pendidikan Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin; Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abdullah; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Mohd Ajib Ismail; Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara Prof Dr Shamrahayu Ab Aziz; dan ahli-ahli sukan negara seperti tokoh badminton negara Abd Rashid Mohd Sidek dan Cheah Soon Kit; Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia yang juga ahli Pasukan Malaysia Pendakian Everest Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin dan penggiat seni tanah air termasuk Sasterawan Negara Prof Dr Siti Zainon Ismail dan penulis lirik serta penulis skrip terkemuka Habsah Hassan.

Seterusnya, seramai 49 individu dianugerahkan Darjah Kebesaran Pangkat Keempat iaitu Johan Mahkota Wilayah (JMW), 76 orang menerima Darjah Kebesaran Pangkat Kelima iaitu Kesatria Mahkota Wilayah (KMW.), 31 individu dikurniakan Darjah Kebesaran Pangkat Keenam iaitu Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 68 individu dianugerahkan Darjah Kebesaran Pangkat Ketujuh iaitu Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Selain itu, seramai 69 individu daripada kementerian, agensi dan organisasi yang memainkan peranan penting dalam memerangi pandemik COVID-19 turut dikurniakan pelbagai pangkat darjah kebesaran, termasuk Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Pusat Pengurusan Krisis Jawatankuasa Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar yang dianugerahi SMW.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Dr Hishamshah Mohd Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Pengarah Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Dr Param Jeeth Singh serta Ketua Pengarah Tadbir dan Logistik Kem Sungai Besi Brig. Jen. Ab Aziz Mohd Sharif pula dianugerahi PMW.

Turut menerima anugerah ialah Pengarah Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Majlis Keselamatan Negara Azizah Mohamed Said; Pengarah Bahagian Logistik Agensi Pengurusan Bencana Negara Amaluddin Suib dan Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis SAC Izan Bakri yang masing-masing dikurniakan JMW.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dalam sidang media khas mengumumkan senarai penerima terbabit di sini hari ini, berkata tarikh istiadat pengurniaan sedang dimuktamadkan.

“Walaupun istiadat belum diadakan, selaras dengan peruntukan di bawah Statut Darjah Yang Mulia Mahkota Wilayah, ahli-ahli Darjah Kebesaran Pangkat Pertama, SUMW, boleh pada setiap masa memiliki, menggunakan dan menikmati gelaran dan nama Datuk Seri Utama sebelum nama mereka manakala wanita, yang suami mereka dikurniai SUMW boleh pada setiap masa memiliki, menggunakan dan menikmati gelaran dan nama Datin Seri Utama sebelum nama mereka,” katanya.

Menurutnya perkara sama turut terpakai kepada ahli Darjah Kebesaran Pangkat Kedua SMW dan Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga PMW serta isteri masing-masing.

“Kementerian Wilayah Persekutuan mengucapkan tahniah dan menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan atas segala jasa dan bakti yang disumbangkan oleh semua penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan 2021,” katanya. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.