PKPD Di Penjara Sungai Udang Melaka Mulai Rabu Ini

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di Penjara Sungai Udang Melaka dan kuarters kakitangannya bermula Rabu ini sehingga 16 Feb, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu dibuat atas nasihat dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di lokasi tersebut.

Katanya sehingga semalam, sebanyak 113 kes positif direkodkan melibatkan 79 tahanan, 22 kakitangan dan 12 ahli keluarga mereka.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKPD itu bertujuan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan dan kontak rapat yang terlibat untuk mengawal penularan jangkitan dalam komuniti.

“Prosedur operasi standard (SOP) PKPD di penjara ini sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” menurutnya dalam kenyataan perkembangan pelaksanaan PKP hari ini.

Menyentuh mengenai operasi pematuhan PKP di seluruh negara semalam, beliau berkata 826 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 776 orang dikompaun manakala 50 lagi direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal, rentas daerah/negeri tanpa kebenaran, tidak memakai pelitup muka dan premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran.

Ismail Sabri turut mengingatkan bahawa mulai hari ini (1 Feb), kerajaan mewajibkan semua majikan di seluruh negara memastikan pekerja asing mereka menjalani ujian saringan COVID-19 dengan kos ditanggung pihak majikan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.