Rizqi, Kanak-kanak Hidap ‘Cystic Hygroma’ Akan Dipantau Pakar – Dr Adham

MERSING, 31 Jan – Kanak-kanak empat tahun yang menderita penyakit ‘cystic hygroma’ di Kampung Semaloi, Endau di sini, akan diletakkan di bawah pengawasan pakar di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru setelah beberapa bulan tidak berupaya mendapatkan rawatan lanjut.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memberi jaminan itu selepas mengunjungi kanak-kanak tersebut, Muhammad Rizqi Hafazan Mohd Rafizal, di rumahnya di sini hari ini.

Menurut Dr Adham, kanak-kanak itu mengalami pembesaran lidah sejak lahir dan keadaan bertambah sukar apabila lidahnya tidak lagi dapat dimasukkan ke dalam mulut selepas mengalami demam, kira-kira enam bulan lalu.

“Apa yang membimbangkan ialah adik Rizqi tidak lagi mendapatkan rawatan lanjut di HSA setelah beberapa bulan (atas kekangan)… oleh itu, kita mengadakan pertemuan ini agar dapat dibuat janji temu dan kanak-kanak tersebut diletakkan di bawah pengawasan pakar dalam bidang berkaitan.

“Selain itu, kita juga akan membekalkan peralatan ‘nose suction’ untuk sementara sekiranya dia selesema ataupun mengalami alahan ketika berada di rumah,” katanya kepada pemberita.

Mengulas mengenai jarakdi antara HSA dan rumah kanak-kanak itu, Dr Adham berkata pihaknya akan memohon bantuan daripada wakil rakyat kawasan berkenaan.

Sementara itu, bapa kanak-kanak tersebut Mohd Rafizal Moosa, 42, berkata dia terpaksa berhenti kerja sebagai penyelia kilang bagi memberi sepenuh tumpuan kepada anaknya selepas berpisah dengan isteri, lebih setahun lalu.

Mohd Rafizal berkata anak keduanya itu memerlukan penjagaan rapi termasuk menukar pakaian lima hingga enam kali sehari kerana air liurnya yang kerap meleleh.

“Rizqi boleh makan dan minum seperti biasa mengikut keselesaan dia dalam kuantiti yang bersesuaian, cuma banyak giginya yang rosak akibat tidak dapat memberus gigi,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Dalam pada itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Mersing Norhaslinda Mohd Surandi berkata JKM akan menimbang bantuan bersesuaian untuk disalurkan kepada penjaga. – BERNAMA

 

 

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.