Rakyat Diharap Terus Istiqamah Dan Berdisiplin Patuhi SOP – Agong

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar rakyat terus beristiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam keadaan negara kritikal menghadapi pandemik COVID-19.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah juga menasihati rakyat supaya terus bertenang, tabah dan cekal menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pelaksanaan Proklamasi Darurat demi kepentingan dan keselamatan diri bersama serta negara.

“Sememangnya, dengan pelaksanaan PKP, Seri Paduka Baginda amat memahami cabaran yang dihadapi, khususnya aktiviti ekonomi harian rakyat yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan kepada media bersempena Hari Wilayah esok.

Pada masa yang sama Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat, khususnya petugas barisan hadapan, yang telah menunjukkan semangat solidariti, kesepaduan dan daya ketahanan yang tinggi dalam menghadapi serta memerangi penularan wabak COVID-19.

Pandemik COVID-19 telah memberikan satu pengajaran yang amat bermakna kepada rakyat Malaysia dan Seri Paduka Baginda menzahirkan kesyukuran kerana semua pihak mampu menangani dan memerangi krisis ini kerana sikap prihatin, katanya.

Al-Sultan Abdullah yang genap dua tahun menjadi Ketua Negara hari ini bertitah semangat keprihatinan ini amat terserlah melalui usaha-usaha petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus siang dan malam membendung wabak COVID-19.

“Ia juga terserlah melalui usaha-usaha murni kerajaan dan sukarelawan membantu golongan yang memerlukan serta juga melalui pematuhan SOP oleh rakyat jelata.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa prihatin ini bukan sekadar slogan sahaja, tetapi merangkumi keseluruhan pembentukan dan pemikiran dasar kerajaan sehingga ke peringkat pelaksanaan dan penyampaiannya.

“Walaupun kerajaan berada dalam situasi yang sukar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan,” kata Ahmad Fadil.

Sementara itu sesuai dengan tema Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini “Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin”, Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat agar menghayati semangat patriotisme dan cintakan Wilayah Persekutuan dengan sentiasa menanam sikap prihatin yang mendalam terhadap satu sama lain. – BERNAMA