Pejabat MB Johor Ditutup Tiga Hari Mulai Esok Bagi Proses Sanitasi

JOHOR BAHRU, 30 Jan – Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri di sini, akan ditutup sementara mulai esok, hingga 2 Feb untuk membolehkan kerja pembersihan dan sanitasi dilakukan bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Pejabat Menteri Besar Johor menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, berikutan itu semua temu janji akan ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan manakala orang ramai yang mempunyai urusan penting boleh menghubungi pegawai-pegawai yang berkenaan.

“Orang ramai dinasihati supaya sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi bersama-sama memerangi pandemik COVID-19.

“Sentiasa memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman atau hand sanitiser serta kekal berada di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA