Pembaharuan Lesen Kenderaan Dikecualikan

PUTRAJAYA, 29 Jan – Kerajaan memperkenalkan semula pengecualian pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) (tidak termasuk kenderaan perdagangan) dan Lesen Memandu Kompeten (CDL) (tidak termasuk Lesen Vokasional) bagi mereka yang tamat tempoh sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, tempoh pengecualian itu bermula 1 Februari sehingga 31 Mac ini bagi memudahkan orang ramai berikutan perkhidmatan kaunter ketika ini hanyalah untuk urusan berkaitan Kenderaan Perdagangan dan Lesen Vokasional (GDL dan PSV) sahaja.

Beliau menjelaskan, langkah itu sejajar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha mengelakkan kesesakan di tempat awam, maka, pengecualian itu diberikan sebagaimana pernah dilaksanakan pada 25 Mac hingga 30 September tahun lalu semasa tempoh PKP 1.0 sebelum ini.

“Bagaimanapun, para pemandu hendaklah memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan (e-cover note insurans) mereka kepada anggota penguat kuasa trafik sekiranya diminta.

“Pemegang LKM dan CDL yang telah atau bakal tamat tempoh hendaklah memperbaharui lesen masing-masing dalam masa 30 hari selepas tempoh pengecualian diberikan iaitu sehingga 30 April ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ka Siong berkata, bagaimanapun pengecualian itu tidak diberikan kepada pemilik GDL dan PSV kerana perkhidmatan pembaharuan yang berkaitan mereka dibenarkan di bawah Jadual Perkhidmatan Perlu merujuk kepada Jadual Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021.

Beliau menjelaskan, pembaharuan untuk perkhidmatan itu boleh dilakukan di semua kaunter atau pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak di sepanjang tempoh PKP.

“Semua pusat pemeriksaan kenderaan Puspakom juga adalah beroperasi bagi tujuan menyediakan perkhidmatan berkaitan pembaharuan ini.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjadi pemandu berhemah dan mematuhi segala SOP yang ditetapkan MKN sepanjang tempoh pelaksanaan PKP,” katanya. –UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.