Aset Rizab Rasmi Malaysia Berjumlah US$107.64 Bilion Pada Akhir Dis 2020

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$107.64 bilion pada akhir Disember 2020 manakala aset mata wang asing yang lain berjumlah US$561.1 juta pada tempoh yang sama.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan hari ini berkata bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman mata wang asing, sekuriti dan deposit, termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara berjumlah US$7.31 juta.

Selain itu, ia berkata, pada akhir Disember 2020, kedudukan hadapan pendek berjumlah US$5.79 juta manakala jumlah kedudukan hadapan panjang sebanyak US$535 juta, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

Bank pusat berkata selaras dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

Ia berkata unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah US$2.47 juta bagi tempoh 12 bulan akan datang.

Menurut BNM, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan bagi hutang dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh setahun berjumlah US$327.6 juta.

“Tiada sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan, kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.

Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) Special Data Dissemination Standard (IMF SDDS) menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir bulan Disember 2020 tetap boleh guna. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.