Banjir: Kg Pengkalan Bukit Garam, Kinabatangan Tidak Sesuai Diduduki

KINABATANGAN, 28 Jan – Penduduk Kampung Pengkalan Bukit Garam dekat sini telah dinasihatkan berpindah kerana kampung itu tidak lagi sesuai diduduki akibat sering dilanda banjir setiap kali hujan lebat, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata kerajaan telah menyediakan tapak baharu bagi menempatkan penduduk kampung berkenaan, namun segelintir penduduk enggan berpindah menyebabkan mereka berhadapan dengan risiko banjir di rumah mereka yang kebanyakan terletak di pinggir Sungai Kinabatangan.

“Perkara ini sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Majlis Daerah Kinabatangan (tetapi) sebilangan penduduk masih merasakan perkampungan ini masih selamat untuk diduduki,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata keadaan rumah di kampung itu juga tidak tersusun, malah kedudukannya berhampiran Sungai Kinabatangan sering terdedah kepada masalah banjir terutama apabila paras air di sungai itu meningkat.

Katanya beliau akan bertemu semula dengan penduduk kampung berkenaan untuk menerangkan keadaan sebenar di kampung itu dan memberikan cadangan terbaik demi keselamatan dan masa depan mereka.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag, Abu Bakar Gapar berkata tujuh keluarga daripada 69 keluarga di kampung itu telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di balai raya kampung tersebut selepas paras air telah menenggelamkan lantai rumah mereka Sabtu (23 Jan) lepas.

Beliau berkata selain kampung itu sembilan lagi kampung terjejas banjir di Kinabatangan melibatkan 220 keluarga dan paras air kini menunjukkan penurunan.

“Bagaimanapun, pemantauan akan terus dilakukan bersama polis, Rela, Angatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pejabat daerah,” katanya dalam kenyataan yang sama. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.