PKPD Di PTP Penjara Marang, Pusat Koreksional Dungun

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di dua lokasi di Terengganu melibatkan Pusat Transit Tahanan (PTP) Penjara Marang serta Pusat Koreksional Dungun dan Kuarters Kakitangan bermula esok hingga 10 Feb.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak di kedua-dua lokasi berkenaan.

Beliau berkata pelaksanaan PKPD di PTP Penjara Marang melibatkan blok Pusat Latihan Pegawai Penjara, Zon 2 dan Zon 3 untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dalam memastikan tiada penularan jangkitan dalam komuniti.

“Sehingga 26 Jan, KKM melaksanakan 1,262 saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 98 kes positif COVID-19 direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KKM turut melaksanakan 1,102 saringan sehingga semalam di Pusat Koreksional Dungun dan daripada jumlah itu, 99 kes positif COVID-19 direkodkan, melibatkan 92 tahanan, dua kakitangan dan lima kontak rapat.

Ismail Sabri berkata prosedur operasi standard (SOP) PKPD di kedua-dua lokasi itu sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan.

Sementara itu, beliau berkata 506 individu ditahan dengan 473 individu dikompaun dan 33 lagi direman atas kesalahan ingkar SOP semalam.

Kawalan sempadan menerusi Op Benteng pula menyaksikan 19 pendatang tanpa izin ditangkap dan lapan kenderaan darat dirampas.

Mengenai saringan wajib pekerja asing, Ismail Sabri berkata Kementerian Sumber Manusia memaklumkan 7,541 individu menjalani saringan semalam dan daripada jumlah itu, 153 orang disahkan positif COVID-19.

Secara kumulatifnya sejak 1 Dis tahun lepas, 225,950 pekerja asing menjalani saringan yang melibatkan 9,132 majikan dengan 4,386 disahkan positif COVID-19. – BERNAMA