Pemuda UMNO Kuala Terengganu Lakukan Khidmat Sanitasi Percuma

KUALA TERENGGANU, 27 Jan – Sebanyak 36 premis termasuk masjid, taman bimbingan kanak-kanak, sekolah dan taman awam di sini telah disanitasi melalui program percuma yang dilakukan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu Armi Irzan Mohd berkata program itu adalah inisiatif pihaknya dalam membantu kerajaan untuk mencegah penularan COVID-19 di lokasi yang sering menjadi tumpuan ramai.

“Semoga program ini dapat membantu meringankan tugas agensi kerajaan lain seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Pihak Berkuasa Tempatan yang perlu memberi fokus kepada lokasi berisiko tinggi yang lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Program itu, yang dijalankan dengan kerjasama Skuad Sabil, turut mengalu-alukan pemilik premis berisiko rendah untuk mendapatkan khidmat ditawarkan.

“Sepanjang proses (sanitasi) dijalankan, kita juga mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan termasuk memakai pakaian perlindungan diri, pelitup muka dan sarung tangan serta menjaga jarak fizikal.

“Selain program sanitasi ini, Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu turut terlibat dalam mengagihkan bantuan makanan kepada pesakit COVID-19 dan petugas barisan hadapan di Hospital Sultanah Nur Zahirah baru-baru ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.