195,028 Pelan Data, 3,773 Peranti Diedar Kepada Pelajar IPT Kategori B40

PUTRAJAYA, 26 Jan – Sebanyak 195,028 pelan data dan 3,773 peranti telah diedarkan kepada pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) kategori B40 sejak Pakej Pelan Data dan Peranti dilancarkan pada 30 Okt hingga 31 Dis tahun lepas, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga sedang dalam proses perolehan 3,997 komputer riba dan komputer meja untuk diedarkan kepada pelajar-pelajar IPT.

KPT, katanya melaksanakan insiatif untuk mendapatkan tawaran terbaik daripada syarikat pembekal pelan data dan peranti untuk pelajar-pelajar IPT.

Pakej pelan data yang ditawarkan ialah Celcom EL30 (RM30); Celcom XPAX 35 (RM35); Maxis Hotlink (RM30/RM40/RM50); Digi (RM28/RM35); UNIFI MOBILE pascabayar (RM59) dan UNIFI Mobile prabayar (RM35).

Bagi peranti pula, syarikat pembekal antaranya Acer Student Purchase ProgramMOHE menawarkan diskaun antara lima dengan tujuh peratus untuk produk terpilih.

“Akses kepada capaian Internet sangat kritikal bagi membolehkan pelajar menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dengan kondusif,” kata Noraini yang menegaskan KPT komited untuk memastikan pelajar IPT mampu mendapatkan capaian Internet walau di mana sahaja mereka berada.

Noraini berkata KPT juga telah mengadakan perbincangan dengan Bank Simpanan Nasional untuk satu lagi inisiatif pinjaman kewangan di bawah Skim BSN MyRinggit-i COMSIS bagi pembelian komputer riba oleh pelajar IPT.

KPT melalui Yayasan Sukarelawan Siswa juga telah melancarkan satu inisiatif crowdfunding melalui Tabung Prihatin Siswa sebagai satu platform bagi mempelawa pihak luar menyalurkan sumbangan untuk membantu meringankan kesulitan pelajar yang berkeperluan dalam meneruskan aktiviti PdP tanpa kekangan, katanya.

Pihak yang ingin menyalurkan sumbangan mereka boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 5660 1062 2566 atau secara dalam talian dengan klik pautan di www.billplz.com/tabungsiswa. – BERNAMA