UMNO Seremban Nafi Desak Ahmad Zahid Letak Jawatan

SEREMBAN, 25 Jan – UMNO Seremban hari ini menafikan bahagian tersebut mendesak presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.

Ketuanya, Mustafa Salim berkata tindakan pemasangan kain rentang yang digantung di sebuah kawasan di Sikamat di sini, kononnya, daripada bahagian itu yang mendesak Ahmad Zahid meletak jawatan merupakan provokasi pihak tertentu.

“Perbuatan itu tidak beretika dan merupakan provokasi pihak tertentu yang ingin melaga-lagakan kepimpinan UMNO di peringkat Bahagian dan Pusat demi kepentingan politik masing-masing.

“UMNO Bahagian Seremban berpendirian tegas menjunjung dan mendukung Perlembagaan UMNO dan institusi Presiden dan mempertahankannya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dua laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan Balai Polis Sikamat berhubung perkara tersebut tengah hari tadi. – BERNAMA