PKPD Di Penjara Taiping Dan Kuarters Kakitangan Mulai Esok Hingga 8 Feb – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Penjara Taiping di Perak dan kuarters kakitangannya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Selasa (26 Jan) hingga 8 Feb depan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Yaakob.

Beliau berkata PKPD dilaksanakan apabila terdapat 43 kes positif COVID-19 direkodkan yang melibatkan 40 tahanan dan tiga kakitangan sejak 23 Jan lepas.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM (Kementerian Kesihatan) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti,” menurutnya dalam kenyataan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata prosedur operasi standard (SOP) PKPD di penjara itu adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan ahli keluarga tidak dibenarkan.

Sementara itu, beliau berkata sejak 1 Dis tahun lepas, seramai 210,613 pekerja asing telah menjalani ujian saringan yang melibatkan 8,096 majikan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 4,151 telah disahkan positif COVID-19.

Memperincikan tangkapan ingkar PKP semalam, Ismail Sabri berkata 717 individu telah ditahan dan daripada jumlah itu, 642 orang dikompaun manakala 74 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (117), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (68), tiada penjarakan fizikal (235), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (96), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (73) dan lain-lain (128),” katanya.

Bagi Op Benteng, beliau berkata seramai 18 pendatang tanpa izin ditahan dan 10 kenderaan darat dirampas.

Katanya sejak 24 April tahun lepas, seramai 109,821 individu telah pulang ke tanah air dan mereka telah ditempatkan di 75 hotel serta 15 Institut Latihan Awam (ILA) dan Institut Pengajian Swasta di seluruh negara untuk kuarantin wajib. – BERNAMA