PKP: Penghantaran Bantuan Banjir Pahang Hanya Di Pusat Penyerahan

KUANTAN, 23 Jan – Kerajaan negeri Pahang menetapkan semua penghantaran bantuan bencana banjir dari luar hanya boleh dilakukan di pusat penyerahan di sempadan negeri iaitu Bentong, Rompin dan Kuantan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata ketetapan itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) semalam, dan turut mensyaratkan mereka yang mahu menghantar bantuan mendapat kebenaran rentas negeri daripada polis serta kelulusan sistem ebanjir.gov.my.

“Mereka tidak dibenarkan menghantar barangan itu secara terus ke lokasi atau bertemu mangsa banjir, sebaliknya pengagihan bantuan bencana itu akan dilaksanakan pusat kawalan operasi banjir (PKOB) negeri dan daerah.

“Pergerakan sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) dari Pahang bagi gotong-royong pasca-banjir masih dibenarkan dengan syarat jumlah peserta terhad antara 10 hingga 15 orang sahaja, selain perlu mendapat kelulusan yang disyaratkan JKKN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan melaksanakan PKP bagi membendung penularan COVID-19 di Pahang berkuat kuasa semalam, dua hari selepas Pahang pulih sepenuhnya daripada bencana banjir menyebabkan banyak pihak berminat membantu menghulur bantuan pasca-banjir.

Selain itu, Wan Rosdy berkata sepanjang tempoh PKP hingga 4 Feb ini, pasar malam dibenar beroperasi mulai 4 petang hingga 10 malam dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti kawalan laluan masuk, setiap kanopi dijarakkan satu meter dan penjual atau pengunjung bergejala dilarang memasuki tapak perniagaan.

Katanya, kebenaran beroperasi juga diberikan kepada kompleks beli-belah bermula 10 pagi hingga 10 malam kecuali kepada perniagaan berbentuk hiburan dan permainan termasuk kiddie ride, boling, panggung wayang, karaoke, kafe siber, spa dan salon serta pusat urut.

“Bagaimanapun, laluan masuk perlu dihadkan bagi mengawal bilangan pengunjung. Pelanggan tidak dibenarkan mencuba (fitting) pakaian dan kasut melainkan dengan penggunaan plastik atau stokin pakai buang, selain tiada pemulangan dibenarkan kepada produk yang telah dibeli,” katanya.

Pihak berwajib juga perlu menyediakan cecair pembasmi kuman, tisu dan tong sampah di setiap lokasi mesin pengeluaran wang (ATM) serta pintu masuk kompleks beli-belah, dengan kompleks yang didapati mempunyai kes positif COVID-19 akan ditutup tiga hari bagi tujuan pembersihan.

Walaupun dibenarkan beroperasi, Wan Rosdy menegaskan bahawa kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dibenarkan mengunjungi kompleks beli-belah, pasar malam, pasar raya, pasar tani, pasar borong dan tempat tumpuan orang ramai.

Katanya, beberapa aktiviti ekonomi seperti bazar larut malam, car boot sales, kelas muzik, tarian, seni dan bahasa adalah tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan PKP di Pahang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.