PKPD Di Blok Tahanan, Kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian Bermula Esok

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Blok Tahanan dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian, Johor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok sehingga 5 Feb ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) susulan hasil saringan COVID-19 di tempat berkenaan yang mendapati 177 daripada 360 saringan dikesan positif sehingga semalam.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk mengawal pergerakan masuk tahanan dari luar serta mengelakkan penularan jangkitan kepada staf, keluarga serta komuniti luar,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Mengenai pemantauan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) PKP, Ismail Sabri berkata seramai 660 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam dengan 621 daripadanya dikompaun manakala 39 lagi direman.

Menurutnya, tidak memakai pelitup muka menjadi kesalahan tertinggi dengan 228 orang, diikuti gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (121), tiada penjarakan fizikal (96), rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran (54), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (63) dan lain-lain (98).

Dalam aspek kawalan sempadan negara, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata pada hari sama 24 orang pendatang tanpa izin ditahan, selain 17 kenderaan darat dirampas menerusi Op Benteng.

Selain itu, beliau berkata hasil pemeriksaan di 50 tapak binaan yang beroperasi semalam, tiga daripadanya didapati tidak patuh SOP dan dua lagi diarah tutup

Beliau berkata 5,819 pekerja warga asing menjalani ujian saringan COVID-19 semalam dengan 84 daripadanya disahkan positif dan secara kumulatif 190,429 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan sehingga semalam dan 3,739 daripadanya disahkan positif.

Menteri itu berkata sebanyak 7,198 majikan dan 852 klinik terlibat dengan program saringan pekerja asing itu setakat ini.

Mengenai operasi sanitasi pula, beliau berkata 85 operasi dilaksanakan di seluruh negara semalam menjadikan kumulatif sejak dimulakan 30 Mac lepas sebanyak 14,412 operasi merangkumi 145 zon.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata seramai 608 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa semalam dan telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

“Sejak 24 April 2020, seramai 108,922 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 79 hotel dan 16 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara,” katanya.

Ismail Sabri turut memberi jaminan bekalan makanan di pasaran peruncit dan pemborong pada masa ini berada pada tahap stabil serta mencukupi dan pemantauan harian akan terus dilakukan Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. – BERNAMA