Masjid, Surau Di Pahang Sedia Ruang Khas Solat Bagi Penduduk Kembali Dari Luar, Musafir

KUANTAN, 22 Jan – Penduduk Pahang yang keluar dan kembali semula ke negeri ini serta individu yang bermusafir dari luar Pahang, diwajibkan menggunakan ruang khas solat dalam tempoh 10 hari sekiranya mahu menunaikan solat fardu dan solat Jumaat di masjid dan surau di negeri ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Dr Zulkifle Ali berkata pihaknya telah mengarahkan pentadbiran masjid dan surau di negeri ini, supaya menyediakan ruang khas bagi membolehkan individu terbabit menunaikan solat Jumaat dan fardu.

Beliau berkata arahan itu berkuat kuasa bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pahang yang bermula hari ini sehingga 4 Feb, dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Solat Jumaat dibenarkan dengan bilangan jemaah ditentukan berdasarkan kapasiti ruang solat yang dibuka oleh pihak masjid negeri, daerah, kariah dan surau kebenaran Jumaat,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik menerusi laman web rasmi JAIP hari ini.

Bagi solat fardu, Zulkifle berkata jemaah dilarang berganjak atau berubah tempat duduk semasa melaksanakan amalan sunat selepas waktu solat Maghrib sehingga Isyak.

“Setiap jemaah wajib mengimbas suhu badan dan merekod kehadiran melalui QR Code MySejahtera dan Moveon (PhgGo) sahaja, yang disediakan di pintu-pintu masuk selain membawa sejadah sendiri bersaiz besar dan memakai pelitup muka dengan sempurna, sepanjang berada di masjid termasuk ketika mendirikan solat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata individu yang bergejala dan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun tidak dibenarkan melaksanakan solat Jumaat dan fardu, dalam tempoh PKP itu.

Zulkifle turut memaklumkan, aktiviti pengajian ilmu hanya dibenarkan di masjid selepas solat Subuh serta antara waktu Maghrib dan Isyak sahaja, manakala penceramah dari luar Pahang serta aktiviti jamuan selepas pengajian tidak dibenarkan.

Katanya majlis akad nikah di masjid dan surau dalam tempoh berkenaan juga tidak dibenarkan, manakala permohonan kebenaran berkahwin luar negeri dan negara ditangguhkan.

“Majlis akad nikah bagi pasangan pengantin dalam negeri Pahang hendaklah dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah sahaja dan bagi pasangan pengantin yang berlainan daerah, hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran rentas daerah.

“Bagi pasangan pengantin luar negeri ini, mereka perlu mendapatkan kebenaran rentas negeri serta mengemukakan keputusan ujian RTK Ag COVID-19, yang dibuat dalam tempoh 72 jam daripada waktu pelaksanaan majlis akad ketika memasuki Pejabat Agama Islam Daerah,” katanya.

Sementara itu, kursus Pra Perkahwinan dan Taklimat Khas Perkahwinan (TKP) secara bersemuka turut ditangguhkan dan peserta dibenarkan mengikuti kursus berkenaan secara dalam talian, yang dianjurkan oleh pihak yang telah dibenarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri lain. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.