22 Loji Rawatan Air Di Sabah Bermasalah, Perlu Diselesaikan Segera – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 22 Jan – Sebanyak 22 loji rawatan air di Sabah mengalami masalah dan perlu diatasi segera bagi memastikan penduduk di kawasan berkenaan menerima bekalan air bersih, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata Sabah mempunyai 84 loji rawatan air dan 22 loji berkenaan telah dikenal pasti mengalami masalah yang teruk sehingga tidak mampu membekalkan air kepada orang ramai.

“Masalah yang dialami loji berkenaan berlaku sama ada musim kemarau atau hujan. Ketika hujan, air sungai di loji berkenaan sangat keruh dan tidak boleh disalurkan kepada penduduk dan apabila kemarau air sungai pula tidak dapat ditadah.

“Kebanyakan loji ini telah dibina sejak lebih 20 tahun dan akibat daripada pembangunan pesat di kawasan berhampiran menyebabkan sungai tercemar dan ia tidak boleh disalurkan kepada pengguna,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Bung Moktar berkata Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) perlu melakukan beberapa perkara untuk menangani masalah berkenaan.

“Untuk penyelasaian jangka pendek, JANS akan membina tangki simpanan air di loji berkenaan namun bukan semua 22 loji yang bermasalah itu dapat diselesaikan dengan cara berkenaan. Bagi mengatasi masalah di loji yang lain, JANS akan membina ‘off river storage’ iaitu satu kolam besar untuk simpanan air sungai,” katanya.

Pada masa yang sama, Bung Moktar berkata Sabah mengalami masalah bekalan air yang sudah berlarutan sejak sekian lama dan ia tidak dapat diatasi sekiranya tiada tindakan drastik yang diambil.

“Oleh itu, saya mencadangkan agar Suruhanjaya Air Sabah ditubuhkan dan suruhanjaya inilah yang akan bertanggungjawab menyelasaikan segala permasalahan air yang berlaku di Sabah,” katanya.

Beliau berkata cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Air Sabah itu akan dibincangkan dalam kabinet negeri. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.