Banjir: Pengecualian Sewa Gerai, Rebat Air Bagi Rakyat Pahang

BERA, 21 Jan – Kerajaan negeri Pahang akan memberi pengecualian sewa pada bulan ini kepada penyewa gerai milik pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terkesan akibat banjir bagi membantu meringankan beban mereka.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata bagi gerai yang mengalami kerosakan teruk pula, penyewa tidak perlu membayar sewa sehingga kerja-kerja membaik pulih selesai dilaksanakan.

“Ramai terkesan dengan bencana berkenaan dan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam memutuskan bantuan tersebut, selain kami juga akan memberi rebat sehingga RM15 bagi kegunaan air domestik bagi bulan Januari kepada setiap ketua isi rumah.

“Bagi rumah yang musnah sepenuhnya, rebat penuh kegunaan air diberikan kepada ketua isi rumah bagi Januari dan Februari,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Program Sukarelawan Pahang membersihkan Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak, Bandar Bera di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata setakat ini kerajaan negeri membelanjakan RM12 juta bagi menyediakan keperluan mangsa banjir dan pihaknya juga berhasrat memberi sumbangan sekali sahaja atau ‘one-off’ kepada ketua isi rumah yang berdaftar dengan pusat kawalan operasi banjir masing-masing.

“Kami turut bercadang memperuntukkan sejumlah bantuan bagi tempoh tertentu kepada ketua isi rumah yang perlu menyewa akibat rumah mereka musnah sepenuhnya selepas banjir. Bagaimanapun kedua-dua peruntukan ini masih dalam perbincangan,” katanya.

Justeru, beliau berkata Pejabat Daerah dan Tanah dikehendaki mengemas kini maklumat terperinci mangsa banjir termasuk jenis kerosakan dialami selain mengesan rumah perlu dilakukan penyelenggaraan pendawaian elektrik.

Katanya, sebagai persiapan bagi menghadapi musim banjir pada masa hadapan, kerajaan negeri bercadang mewujudkan pusat penempatan serba guna secara kekal bagi menempatkan mangsa banjir, dan pusat itu juga dapat digunakan untuk aktiviti lain sekiranya tiada bencana alam itu.

Mengenai penemuan rangka kapal yang dianggarkan dibina pada abad ke-18 dan 19 selepas banjir surut di Kampung Penjom, Kuala Lipis baru-baru ini, beliau berkata kerajaan negeri menyerahkan kepada Jabatan Muzium Negeri Pahang untuk menguruskannya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri Selangor yang menyumbang RM1 juta bantuan banjir kepada Pahang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.