COVID-19: 2,985 Kes Baharu, 994 Kes Pulih Hari Ini – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 13 Jan – Sejumlah 2,985 kes harian baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 144,518 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata bilangan kes COVID-19 yang sembuh bagi tempoh sama ialah 994 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 111,578 kes atau 77.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula ialah 32,377 kes,” katanya pada sidang media perkembangan harian COVID-19 di sini hari ini

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes baharu yang dicatatkan hari ini, dua merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 837 kes diikuti Johor dengan 535 kes dan Sabah yang mencatatkan 450 kes,” katanya.

Bagi kes penularan tempatan, beliau memaklumkan 2,461 kes melibatkan warga tempatan dan 842 kes bukan warganegara.

Sementara itu, lebih 50 peratus kes baharu dilaporkan di tiga negeri yang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 12.01 tengah malam ini iaitu Selangor yang mencatatkan 1,007 kes (30.4 peratus), Johor (442 kes – 13.4 peratus) dan Sabah (409 kes – 12.4 peratus).

Menerusi kenyataannya hari ini, Dr Noor Hisham berkata di Selangor, sebanyak 825 kes dikesan daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

“Sebanyak 439 kes (13.3 peratus) yang dilaporkan pula berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan iaitu 192 kes, Kluster Tembok Choh (162 kes), Kluster Tembok Mempaga (70 kes), Kluster Tembok Gajah (tujuh kes), Kluster Pagar Siput (tiga kes), Kluster Telok Mas (tiga kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (dua kes),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata tiga daripada empat kes kematian dilaporkan hari ini adalah di Selangor dan satu lagi di Perak, dengan kesemua mangsa berumur antara 52 hingga 69 tahun menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat wabak itu meningkat kepada 559 kes.

Sehingga kini, terdapat 190 kes yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 83 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

Malaysia turut merekodkan 1,469 kes sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya sebanyak 110,584 kes (78.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengesan 11 kluster baharu, menjadikan jumlah kluster aktif kini 261 kluster, dengan 77 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

Kluster baharu iaitu Kluster Jalan Manan di Selangor mencatatkan 83 kes; Kluster Persiaran Kuala (Selangor-44 kes); Kluster Udarama (Kuala Lumpur-21 kes); Kluster Iris (Kuala Lumpur-11 kes); Kluster Jalan Kiara (Kuala Lumpur-22 kes); Kluster Dialisis Batu (Kuala Lumpur- enam kes).

Selain itu, Kluster Bukit Sekubong (Sarawak-21 kes); Kluster Kampung Badak (Kelantan-39 kes); Kluster Taman Kesedar (Kelantan-14 kes); Kluster Dialisis Putra (Putrajaya-10 kes) dan Kluster Permint Harmoni (Terengganu-lapan kes).

“Kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Penjara Jalan Harapan (192 kes), Kluster Teratai (176 kes), dan Kluster Tembok Choh (162 kes),” katanya.

Dalam pada itu sebanyak 344 kluster diisytiharkan tamat termasuk Kluster Atabara, Kluster Senu Setia, Kluster Bonggaya, Kluster Jernai, Kluster Pengkalan Barat, Kluster Tapak Bina Puteh Lama, Kluster Tapak Bina Jalan Bukit dan Kluster Sabaru yang tamat hari ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.