Pelan Strategik Pengurusan Pandemik Nasional Akan Dilancarkan – Adham Baba

PUTRAJAYA, 12 Jan – Pelan Strategik Pengurusan Pandemik Nasional yang meliputi pengurusan pandemik termasuk wabak COVID-19 dengan menggunakan pendekatan menyeluruh untuk seluruh negara, akan dilancarkan dalam masa terdekat, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurutnya, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Strategik Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan 10 kumpulan kerja fokus bagi pelaksanaan pelan nasional itu.

Dr Adham berkata beliau mengemudi kumpulan kerja fokus 1 iaitu berhubung sekuriti kesihatan, yang bertanggungjawab untuk memastikan Malaysia mengurangkan risiko ancaman dan pulih daripada pandemik melalui tindakan seperti menggubal, merancang dan melaksana.

“Sebanyak 136 inisiatif telah dirangka oleh kumpulan kerja ini yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun ,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2021 Kementerian Kesihatan di sini, hari ini.

Dalam amanat itu, Dr Adham berkata penggunaan kemudahan kesihatan sedia ada perlu dioptimumkan dan akan melalui pendekatan 3R iaitu repair (pembaikan), replace (penggantian) dan restore (pemulihan).

“Keutamaan diberikan bagi mempertingkat aspek keselamatan, keselesaan dan operasi fasiliti yang lebih efektif. Tumpuan khusus harus diberikan bagi mempertingkat kemudahan kesihatan yang bersesuaian di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

Dr Adham turut merakamkan ucapan tahniah kepada Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) yang berjaya merangkul anugerah “Pelancongan Kesihatan dan Perubatan: Destinasi Terbaik” secara berturut-turut pada Majlis Anugerah Pelancongan Perubatan 2020 di London.

“Malaysia mempunyai kelebihan dalam sektor pelancongan kesihatan dengan mencatatkan 1.3 juta pelancong pada 2019.

“Sektor ini terjejas pada tahun lepas berikutan pandemik COVID-19. Langkah-langkah yang lebih strategik dan inovatif perlu dirangka bagi melonjakkan semula pembangunan sektor perubatan swasta dan perkembangan pelancongan kesihatan,” katanya.

Mengenai perolehan vaksin COVID-19, Dr Adham berkata beliau telah berjaya memuktamadkan jaminan akses vaksin negara sebanyak 40 peratus dengan menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin COVID-19 dengan beberapa syarikat farmaseutikal dan fasiliti COVID-19 Vaccine Global Access (COVAX).

“Kita sedang giat meneruskan rundingan dengan pelbagai syarikat pengeluar vaksin di seluruh dunia bagi memenuhi keperluan imunisasi rakyat secara optimum,” katanya.

Beliau berkata rakyat menaruh harapan tinggi kepada kerajaan dalam mendapatkan vaksin COVID-19 sebagai perisai bagi memulakan kehidupan seperti sedia kala selain membantu pembukaan sektor ekonomi secara besar-besaran.

“Walaupun vaksin COVID-19 akan diberikan kepada rakyat, namun kempen-kempen kesedaran terhadap pembudayaan norma baharu perlu digiatkan sebagai kemestian dalam memutuskan rantaian COVID-19, vaccine is not a silver bullet (vaksin bukanlah penyelesaian mutlak),” katanya. – BERNAMA