Melaka Tumpu Tujuh Inti Pati Realisasi Dasar, Perancangan

MELAKA, 11 Jan – Kerajaan negeri Melaka menekankan tujuh inti pati penting kepada semua penjawat awam dalam usaha merealisasikan segala dasar-dasar dan pelan perancangan termasuk Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 dan Belanjawan 2021 Melaka.

Ketua Menterinya Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata ia seiring dengan matlamat 2021 adalah Tahun Pelaksanaan untuk memastikan segala polisi, inisiatif dan program yang telah dirancang, dilaksanakan dengan berkesan hingga memberi impak serta manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat.

“Yang pertama, paling mustahak kita mahukan segala apa yang telah kita rancang tahun ini, kita perlu pastikan semuanya dilaksanakan atau dalam bahasa mudahnya ‘Bagi Jadi, Kasi Jadi’.

“Selain itu, polisi kita adalah Hari-hari Bertemu Rakyat yang bukan hanya dilakukan secara mingguan atau bulanan supaya segala permasalahan yang dibangkitkan rakyat dapat diambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat Sempena Tahun Baharu 2021 dan Pra- Pelancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 di sini, hari ini.

Sulaiman berkata pihaknya juga tidak mahu ada lagi alasan apabila berlaku kelewatan, ketirisan atau apa-apa jua kegagalan dalam menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.

Beliau berkata pihaknya juga mahu melihat ‘result-oriented’ atau hasil daripada semua yang direncana kerajaan negeri termasuk lebih 80 inisiatif Belanjawan 2021 Melaka merangkumi 40 inisiatif yang melibatkan rakyat secara langsung, diterima terus oleh rakyat.

“Saya juga mahu setiap agensi dan anak syarikat kerajaan negeri mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) dan pelan strategik masing-masing selari dengan pelan strategik di peringkat negeri,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman bernilai RM5 juta kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Melaka untuk disalurkan kepada semua pelajar di seluruh Melaka secara percuma. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.