Kerajaan Negeri Perak: Ahmad Maslan Optimis UMNO, PAS & Bersatu Akan Bersama

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Setiausaha Agung (SUA) UMNO, Ahmad Maslan optimis dan positif bahawa pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu adalah terdiri daripada UMNO, PAS dan juga Bersatu.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian pada Selasa tengah hari telah menyerahkan sendiri surat rasmi UMNO kepada SUA PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan SUA Bersatu, Datuk Hamzah Zainuddin berhubung keputusan Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam sebelumnya.

Mesyuarat tersebut memutuskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak yang sebelum ini terdiri daripada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari ketiga-tiga parti tersebut hendaklah dipertahankan.

Jelas Ahmad lagi, kedua-dua rakan sejawatannya telah menjawab surat beliau itu di sebelah petang 8 Dis.

“Intipati jawapan surat SUA PAS dan SUA PPBM (Bersatu) ialah keputusan berhubung Kerajaan PN di Perak akan dibincang dengan pimpinan parti mereka dengan segera.

“Saya optimis dan positif. Semoga PAS dan PPBM akan bersama UMNO di Perak. Diharap segalanya akan selesai dengan baik dalam sedikit masa lagi,” ciapnya di Twitter.

Kemelut politik Perak tercetus pada Jumaat lepas selepas pembentangan usul ‘keyakinan ADUN terhadap menteri besar’ yang menyaksikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kehilangan sokongan majoriti ADUN.

Menerusi usul semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya memperoleh 10 sokongan berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.

Jawatan Menteri Besar Perak kini kosong selepas Ahmad Faizal meletak jawatan sehari kemudian.

DUN Perak merangkumi 25 BN, Dap (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi. – UMNO ONLINE