Antara Strategi Dan Politik Lurus Bendul

Kenapa marah dan naik angin pasal surat kepada Yang Dipertuan Agong yang kononnya ditandatangani Zahid Hamidi dan Najib Razak? Kenapalah ada ahli UMNO yang begitu mudah tertipu dengan mainan pihak tertentu di luar parti yang berhati busuk dan sengaja ingin mencetuskan perbalahan sesama sendiri dan dengan pucuk kepimpinan?

Saya tidaklah menganggapnya sebagai satu kebodohan tetapi kurang pengetahuan mengenai politik, terutama dalam menilai konfrontasi di antara UMNO dan Bersatu.

Dalam banyak hal, segelintir pemimpin UMNO sendiri nampaknya mudah terpedaya dengan sentimen tak masuk akal yang ditabur oleh mereka yang dungu ini.

Sebenarnya, UMNO tidak pernah ingin menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Ini cukup jelas dan terang. Kaitannya dengan Dap akan hanya menjamin Pakatan Harapan menjadi kerajaan semula melalui Putrajaya, dan satu negara akan kembali terbelenggu dalam pelbagai masalah.

Akan tetapi… hmmm… biar saya berikan beberapa kemungkinan di sini. Bagaimana seandainya Zahid dan Bossku benar-benar menyediakan surat berkenaan? Seperti yang disebut oleh Tengku Razaleigh baru-baru ini, pemimpin atasan sekalipun boleh dipecat dari parti jika mereka bersekongkol dengan Ketua Pembangkang itu yang sudah beberapa kali ditipu oleh Dr Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri berikutnya.

Ku Li boleh jadi benar dah salah. Beliau benar kerana mempertahankan prinsip parti tetapi silap dalam mengesan helah politik mikro yang tersembunyi di sebalik surat berkenaan. Begitu juga pemimpin UMNO yang masih beranggapan bahawa parti itu adalah parti yang sama ketika menerajui kerajaan selama lebih 60 tahun.

Tolong laaa…. UMNO ditumbangkan melalui taktik kotor Mahathir, Anwar, Guan Eng dan rakan-rakan mereka lama sebelum Pilihan Raya Umum ke-14. Pembohongan dan fitnah merekalah yang menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional dilabel sebagai rasis dan paling korup di dunia. Dah lupakah?

Mereka naik melalui helah yang menjijikkan ini.

Kemudian tiba pula giliran Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8. Parti Bersatu pimpinannya berpecah dengan puak yang simpati dengan Dr M, Dap dan Amanah bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional dengan UMNO, PAS dan BN. Masih ingat lagikah bagaimana ia terjadi?

Bersihkah caranya? Ya, kerana mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong. Seri Paduka menerimanya kerana tidak mahu lagi negara terperosok dalam kancah perebutan kuasa ketika kita semua memberi tumpuan kepada usaha memerangi pandemik Covid-19.

Kesusahan rakyat mestilah diambil berat dan pentadbiran negara mesti disusun semula. Sebarang ketidakstabilan politik akan hanya menjerumuskan lagi kita ke kancah kesukaran hidup!

Bagaimanapun, kerajaan PN juga dinaikkan dalam keadaan yang cukup kotor. Berlaku tawar-menawar dan beli-membeli yang akhirnya memberi kelebihan satu atau dua kerusi kepada Muhyiddin. Ia cukup goyah. Muhyiddin bijak mengambil kesempatan daripada ruang yang cukup sempit. Dan UMNO, sebagai parti terbesar dalam PN, memberikan sokongan sehingga hari ini.

Apa pula habuan untuk UMNO apabila barisan Kabinet diumumkan. Cukup mengecewakan apabila parti ini cuma diberikan portfolio yang menjarakkannya daripada rakyat, daripada pengundi. Dalam erti kata lain, Muhyiddin dan setiausaha agungnya, Hamzah Zainuddin seperti sudah ada niat jahat untuk menguburkan UMNO pada pilihan raya umum akan datang.

PH main kotor, begitu juga PN dan Bersatu. UMNO diinjak-injak. Ketika Zahid berbuat segala yang terdaya untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan UMNO, sengketa dalam parti seolah-olah meletakkan semua kesalahan di bahunya. Cara beliau dianggap kotor!

KOTOR? Apa yang kalian maksudkan sebagai kotor apabila orang lebih lebih kotor dan menjijikkan? Adakah Ahli Parlimen UMNO yang melompat ke parti lain selepas PRU14 dilihat sebagai bersih? Amat menyedihkan!

Zahid dan beberapa pemimpin kanan parti disandarkan dengan cabaran cukup berat untuk memperkukuhkan UMNO semula. Maruah parti terletak pada perpaduan semua ahli, namun sebahagian mereka menjadi buta hati dengan permainan dan racun yang ditabur oleh Bersatu!

Presiden parti menjadi bahan tohmahan dan umpat keji banyak pihak, terutamanya ahli UMNO sendiri. Mereka sedikit pun tidak nampak betapa Zahid ialah orang paling layak menerajui UMNO dan mendapatkan semula apa yang hilang selepas 9 Mei 2018.

Jadi, apa salahnya kita main kotor sedikit? Tak salah menyokong Anwar jika ia mampu mengembalikan maruah dan kuasa UMNO. Kita ikutlah bermain mainan yang direka oleh PH dan PN. Jika cara mereka jijik dan meloyakan, kita kotorkanlah cara kita sedikit asalkan UMNO dapat dijulang semula.

Malangnya, Zahid dan Najib tidak pernah menyediakan surat seumpama itu.

Dalam politik hari ini, cuba sebut apa yang bersih sangat mengenainya. UMNO tak pernah main kotor, begitu juga Zahid. Sebagai Presiden UMNO yang paling malang kerana tidak menjadi Perdana Menteri, semua ahli sepatutnya berdiri kukuh di belakangnya dan memahami suasana sekeliling.

UMNO perlu bertindak sekarang atau akan lenyap terus. Jika kita lurus bendul dan menjadi ‘macai’ politik orang lain dan menunjukkan kebaikan 200 peratus, sampai bila pun kita akan duduk di bawah tapak kaki mereka.

Adakalanya kita perlu biadab untuk memperbetulkan keadaan. Perlu nampak jahat sedikit untuk mendapatkan keadilan. Ini politik kita hari ini. Nak cuci lantai pun, kita kena sanggup kotorkan badan sendiri dahulu, betul tak?

Jadi, tak salah main kotor sedikit!

BUJAI

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.