PRK Chini Hadiah Roh Perjuangan Dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional – Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 2 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Barisan Nasional (BN) perlu menang di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini nanti untuk dijadikan hadiah kepada roh perjuangan baharu dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

Jelas beliau, di PRK Chini ini juga rakyat dapat melihat dinamika politik baharu dengan kehadiran PPBM dalam satu pemikiran yang bakal menyatukan perbezaan matlamat politik.

“Politik ini bukan statik dan disebabkan dinamikanya maka perubahan telah bertukar mengikut arus, maka kita dapat lihat dengan adanya PPBM dalam satu pemikiran tentunya akan menyatukan perbezaan dengan menuju kepada matlamat politik yang sama… inilah yang sedang berlaku di PRK Chini.

“Selain itu kita juga dapat melihat, jika sebelum ini kita bersaing dengan PAS di PRU-14 tapi atas semangat MN kini PAS adalah sebahagian daripada kita, atas semangat PN, PPBM juga sebahagian daripada kita.

“… atas kertas seharusnya dengan jentera yang tersusun rapi, dengan komitmen bukan hanya dengan pengundi tapi kepimpinan BN dan jentera, didokong daripada UMNO bahagian dan sayap maka saya yakin semua yang kita rancang berjalan dengan baik,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata demikian dalam program ‘Kabo Chini’ yang disiarkan secara ‘Live’ menerusi Facebook UMNO Online yang dihoskan oleh Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid, malam tadi.

Bercerita lebih lanjut Ahmad Zahid melahirkan harapan agar semua jentera dapat serasi dengan kombinasi berkempen secara konvesional dan norma baharu yang diperkenalkan ekoran pandemik COVID-19 yang melanda negara.

“Dalam keadaan PKPP ini, ia merupakan satu perkembangan yang baik apabila kita dapat mematuhi semua SOP ataupun garis panduan yang telah ditetapkan oleh SPR. Saya juga berterima kasih kepada agensi terbabit yang telah memberi nasihat kepada SPR yang akhirnya melonggarkan dua cara berkempen.

“Jika sebelum ini aktiviti kempen rumah ke rumah dan perjumpaan dihadkan kepada 20 orang tetapi ianya telah dilonggarkan dengan garis panduan apabila kempen rumah ke rumah dibenarkan dan perjumpaan dihadkan kepada 250 orang.

“Maka pendekatan kali ini cukup baik dengan dinamika politik kerana kita tahu bukan hanya ‘handbill’ atau bahan-bahan tanpa lisan digunakan tetapi pendekatan komunikasi secara lisan juga digunakan di PRK ini,” jelas beliau.

Bercakap soal calon yang diketengahkan oleh BN pula Ahmad Zahid berkata, Mohd Sharim Md Zin bukan sahaja mewakili penduduk Felda tetapi pada masa yang sama mewakili generasi kedua Felda.

“Tentunya beliau diterima oleh pengundi… baru sahaja berusia 41 tahun, mempunyai latar belakang sekolah pondok. Beliau juga telus… tidak menipu sijil apabila mengakui kelulusan maksima ialah SPM tapi beliau sangat akitf dan mampu memikul amanah yang diberi.

“Saya yakin pengundi di Chini lebih mengenali calon kita ini,” tegas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.