Keseimbangan Kebajikan Golongan Lama, Muda Jadi Matlamat Mohd Sharim

PEKAN, 1 Julai – Keseimbangan antara kebajikan generasi lama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan membantu golongan muda yang mahu kekal di kampung menjadi antara aspek utama yang mahu diperjuangkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu, Mohd Sharim Md Zain.

Mohd Sharim berkata, sebagai calon berusia 41 tahun, golongan muda melihat beliau sebagai individu yang akan memberi tumpuan kepada kepentingan mereka.

Penglibatan beliau di peringkat pertubuhan belia sebelum ini mungkin dilihat golongan muda untuk mengharapkan perubahan tetapi dalam masa yang sama kepentingan golongan lama perlu juga dijaga.

“Saya bertekad (jika terpilih sebagai wakil rakyat DUN Chini) akan lakukan khidmat terbaik untuk DUN, memenangi hati semua lapisan masyarakat. Berbanding golongan lama, golongan muda ini lebih melihat kepada aspek ekonomi. Ia satu cabaran kepada saya (untuk mengimbangi kepentingan semua peringkat masyarakat),” katanya kepada Bernama.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggalakkan kempen dijalankan secara dalam talian berikutan kempen secara bersemuka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat kerana PRK kali ini berjalan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bertujuan mencegah penularan wabak COVID-19, namun Mohd Sharim tetap mahu banyak berkempen secara bersemuka bagi bertemu golongan lama.

Boleh dilihat kesungguhan beliau dalam berkempen, apabila banyak kunjungan dan ziarah melibatkan golongan lama walaupun kebanyakan mereka dikatakan penyokong tegar BN, yang sudah pasti akan mengundi BN.

Selain itu, walaupun penduduk di kawasan Felda meliputi kira-kira 82 peratus penduduk di DUN itu tetapi beliau turut melihat aspek kebajikan penduduk dua lagi kawasan iaitu di kampung tradisional dan kampung Orang Asli.

“Tiga lokasi, tiga luahan masalah setempat yang berbeza. Di kawasan Felda, isu perumahan (generasi kedua) yang terbengkalai adalah yang terbesar. Yang lain adalah isu klinik kesihatan yang perlu dinaik taraf.

“Di kampung tradisional, luahan orang kampung dari segi perumahan dan kos sara hidup, nak tingkatkan ekonomi orang kampung. Di kampung Orang Asli pula mereka mahukan tanah dan rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin),” katanya.

Biarpun ada yang memainkan isu bahawa beliau bukan anak Pahang kerana lahir di Alor Setar, Kedah, namun beliau tidak mempedulikan isu itu kerana baginya, beliau sangat memahami isu-isu di DUN Chini kerana telah berada di Chini sejak berusia dua tahun lagi.

Tambahan pula, adalah sesuatu yang normal masyarakat di kawasan Felda ramai yang datang dari negeri lain.

Beliau berkata, permasalahan penduduk di kawasan DUN Chini sentiasa dalam pemerhatian beliau apatah lagi beliau cukup rapat dengan wakil rakyat sebelum ini, Datuk Seri Abu Bakar Harun, yang telah lama berbakti untuk penduduk DUN Chini sejak 2004.

PRK DUN Chini, dengan pengundian Sabtu ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun.

PRK DUN Chini, satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, diadakan berikutan kematian penyandangnya, Abu Bakar, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 7 Mei lepas akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini yang beliau pegang sejak PRU-11 dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, menewaskan Mohd Fadhil (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065).

Terdapat 20,990 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal, dengan pengundi berusia bawah 40 tahun adalah majoriti, yang mewakili 56 peratus. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.