PRK DUN Chini: Atas Beberapa Faktor, BN Wajar Menang Tanpa Bertanding – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Berdasarkan beberapa faktor sewajarnya Barisan Nasional (BN) sebagai penyandang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini diberi peluang menang tanpa bertanding di kawasan tersebut, ujar Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Katanya, antara faktor adalah seperti jumlah undi amat besar BN dan PAS (kini bergabung dalam Muafakat Nasional) perolehi ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu berbanding undi yang sangat kecil diterima Pakatan Harapan (PH) dan negara kini masih belum bebas sepenuhnya dari penularan wabak COVID-19 yang terbukti amat membahayakan nyawa.

Tambah Ahli Parlimen Pontian itu lagi, selain PKR yang telah menyatakan komitmen tidak meletakkan calon, beliau juga berulang kali menggesa agar calon bebas berfikir dengan semasak-masaknya.

“Saya pernah menyebut kalau bebas nak bertanding, mereka kena fikir sepuluh kali.. tidak halang tetapi atas kertas sila lihat dan atas ‘on the ground’ pun kena lihat, realitinya.

“Bukan tidak mahu demokrasi berkembang, tetapi dengan melihat segala kekangan-kekangan ini (akibat wabak COVID-19) elok juga kalau BN calonnya itu boleh menang tanpa bertanding,” katanya di dalam satu wawancara khas membicarakan tajuk PENJANA dan Politik Semasa yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, Khamis malam.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas.

Pada PRU-14, Abu Bakar mempertahankan kerusinya itu sejak PRU-11 dengan memperolehi 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor (5,405 undi) manakala calon PH atas tiket PKR Mohamad Razali Ithnain hanya 1,065 undi.

Jelas Ahmad lagi, isu keselamatan nyawa rakyat perlu menjadi keutamaan walaupun ada beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan jika terdapat pertandingan kerana melawan COVID-19 diibaratkan seperti perang dunia ketiga berlawan dengan musuh yang tidak kelihatan.

“Nyawa yang terlibat 20,090 pengundi…belum lagi jentera mungkin separuh dari itu, jika ada pertandingan… bayangkan kita masuk PRK tak buat main-main, ada SOP dan strategi… bercampur gaul dan sebagainya dari kawasan merah, hijau…bahaya.

“Jadi, kita fikir tentang itu, lainlah kalau pilihan raya itu tiga empat bulan dari sekarang. Ini (PRK DUN Chini) di saat ketika baru sahaja lepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat masuk Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan. 20 Jun Hari Penamaan dan 4 Julai Hari Pengundian adalah masa-masa yang merungsingkan.

“Fikir sepuluh kali… Fikir sepuluh kali. Fikir pertama, aku boleh menang ke tidak, fikir kedua, aku akan hilang deposit atau tidak, fikir ketiga berapa ramai rakyat yang akan terjangkit dan sebagainya,” katanya.

Untuk rekod, DUN Chini, satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan akan menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Tambah Ahmad juga jika tiada pertandingan, SPR boleh menjimatkan RM4.3 juta kos untuk PRK DUN Chini.

“Sekiranya tiada pertandingan akan ada penjimatan dan boleh digunakan untuk pendaftaran automatik misalnya, pendidikan khas SPR kepada pengundi muda, kelengkapan SPR, atau sekiranya dana masih belum SPR perolehi masih di dalam dana Kumpulan Wang Disatukan boleh dibuat berapa banyak masjid dan surau…untuk rakyat semuanya,” ujarnya.

Manakala mengenai isu-isu tempatan yang melingkari DUN Chini, katanya selesai dalam masa terdekat seperti pemberian geran hak milik kepada peneroka Felda Chini Timur 1, masalah tekanan air dan tanah lot untuk generasi kedua di mana kerajaan negeri Pahang akan memberikan tanah kepada Felda untuk diagihkan.

Begitu juga ujarnya dengan isu berkaitan di kampung tradisional dan Orang Asli yang telah diselesaikan oleh Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Ahmad yang terkenal dengan pantun spontannya turut menitipkan serangkap pantun khusus untuk PRK DUN Chini sepertimana di PRK Parlimen Tanjung Piai dan Kimanis,

Felda Chini dan Chini Timur,
Kampung Tradisional dan Orang Asli,
Hidup di sini aman dan makmur,
Barisan Nasional yang kami undi.UMNO ONLINE

Oleh; Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.