Zahid, Hadi Jejak Masuk Pertama Kali Di Pejabat Muafakat Nasional

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini pertama kali memasuki Pejabat Muafakat Nasional yang terketak di Tingkat 36, Menara Dato Onn, PWTC.

Pejabat berkenaan akan menjadi tempat untuk menyelaras segala gerak kerja dan perjalanan Muafakat Nasional yang selama ini dijalankan secara berasingan di pejabat kedua-dua parti berkenaan.

Pada pukul 3.30 petang tadi, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetuai delegasi masing-masing dalam Perbincangan Khas Muafakat Nasional (MN).

Mesyuarat berkenaan yang pertama kali berlangsung di Pejabat Mufakat Nasional itu turut dihadiri Timbalan Presiden parti masing-masing termasuk barisan kepimpinan tertingginya yang lain.

Suasana mesyuarat berlangsung dalam keadaan yang muhibbah dan penuh kemesraan sekaligus menggambarkan jalinan muafakat yang dimeterai sebelum ini makin berkembang dan makin erat.

Pada 14 September tahun lalu UMNO dan PAS menandatangani Memorandum Of Understanding (MoU) dengan membentuk Muafakat Nasional. Majlis gilang gemilang itu diadakan di WTC. – UMNO Online

Oleh : Azman Abas