UMNO 74 Tahun: Menghayati Sebuah Perjuangan

PERTUBUHAN Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) ialah sebuah parti keramat yang lahir di atas perjuangan murni bagi membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman kolonial British. Sebut sahaja nama UMNO sudah pasti terlalu banyak jasa dan pengorbanan pada nusa bangsa terutama di kalangan orang Melayu sehingga ada yang sanggup berkorban apa-apa sahaja termasuklah barang kemas peribadi demi sebuah kebebasan. Liku-liku perjuangan UMNO terbina bukan sehari dua namun ia melangkau zaman dan walaupun pemimpin UMNO bersilih ganti, namun prinsip perjuangan tetap sama demi agama, bangsa dan negara.

Penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946, dengan Datuk Onn Jaafar sebagai pemimpinnya yang pertama telah berjaya menyatukan rumpun Melayu di bawah satu tonggak, membangkitkan semangat nasionalisme lantas membawa kemerdekaan kepada negara.

Waktu pun berputar, kini UMNO dikenali sebagai parti yang terbesar dan pernah menjadi teras pemerintahan negara dengan jumlah kerusi yang terbanyak dan pemimpin-pemimpinnya berperanan dalam membuat dasar-dasar. UMNO adalah antara parti bercorak demokratik yang tertua di negara-negara membangun dan masih kuat kedudukannya setelah melalui berbagai-bagai peristiwa dan cabaran. UMNO dihormati oleh kawan dan lawan di atas prinsip-prinsip keadilannya, ketegasan dan keupayaannya menjalankan dasar-dasar yang telah dipersetujui.

UMNO pernah berada di puncak kejayaan memerintah negara. Menjadi teraju kerajaan selama lebih 60 tahun, namun, langit tidak selalunya cerah apabila pada tanggal 9 Mei 2018, tarikh suram buat UMNO apabila kerajaan bertukar arah. Akibat gelombang rakyat yang percayakan hasutan dan janji-janji Pakatan Harapan UMNO bersama Barisan Nasional (BN) hilang tampuk kuasa.

Tentunya, bagai dihiris-hiris hati dan jiwa setiap ahli UMNO tetapi apakan daya takdir dan ketentuan Yang Maha Esa diterima dengan redha. Buat pertama kalinya UMNO berada dikedudukan pembangkang… tapi keadaan ini tidak pernah mematahkan semangat perjuangan ahli-ahlinya yang bersandarkan tekad “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat”.

Hilangnya kuasa pentadbiran kerajaan bukan bermakna tumbangnya parti keramat dan bukan juga pengakhiran buat UMNO. Walaupun ia sememangnya satu tamparan hebat buat pemimpin-pemimpin UMNO, juga kepada ahli-ahlinya namun ia diterima dengan matang.

Tiada tunjuk perasaan, tiada demonstrasi, tiada tindakan ganas dari mana-mana pemimpin mahupun ahli UMNO sebaliknya diterima dengan sepenuh kerendahan hati atas semangat demokrasi dan akur bahawa kuasa bukan kekal selamanya.

Selepas kekalahan UMNO pada PRU14, Presiden UMNO pada ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, dengan kerelaan hati melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO yang bertanggungjawab memikul kekalahan parti. Perit dan sedih namun itulah prinsip dan perjuangan yang ditonjolkan oleh Datuk Seri Najib.

UMNO terus diduga… betullah kata orang, kawan disaat kita senang mudah dicari tetapi kawan disaat kita susah, amat sukar. Parasit-parasit dalam UMNO mula meninggalkan parti atas pelbagai alasan. Barangkali mereka lupa parti mana yang menaikkan mereka, atau mungkin hilang keyakinanterhadap akar umbi yang bergolok gadai dalam UMNO. Tangisan dirintih dengan muhasabah diri yang dicari namun strategi perjuangan UMNO disusun semula bagi memenangkan hati rakyat dengan diterajui Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Setelah 22 bulan UMNO menjadi pembangkang, banyak yang UMNO pelajari, mengambil iktibar atas kekalahan dalam PRU, menangani krisis dari akar umbi hingga ke pimpinan atas dengan usaha meraih kembali keyakinan rakyat berlandaskan sokongan ahli-ahli di akar umbi.

Ditambah pula sepanjang tempoh itu, kerajaan baru iaitu Pakatan Harapan gagal menunjukkan kepimpinan berjiwa kebangsaan sebaliknya letih terarah bermain politik kepartian dengan nilai-nilai perpaduan semakin tercalai. Sedikit demi sedikit rakyat mula nampak buruknya kerajaan Pakatan Harapan. Janji 100 hari hanyalah tinggal janji, suara rakyat terus dipandang sepi malah sesame sekutu mereka lebih cenderung berebut kuasa dan meraih kedudukan sementara rakyat tidak terbela.

UMNO enggan menoleh ke belakang, terus mengorak langkah merencana masa hadapan. Lantas UMNO dan PAS sepakat mewujudkan kebersamaan atas landasan Islam, bangsa Melayu dan tanah air tercinta membentuk Muafakat Nasional (MN). Inilah antara dambaan orang-orang Melayu yang mahukan dua parti terbesar bangsa dalam negara bersatu. MN terus melangkah dengan lebih kukuh. MN menjadi pilihan masyarakat yang sudah mula hilang kepercayaan pada kerajaan Pakatan Harapan lantaran hanya tahu bermain politik tetapi tidak ada hasilnya pada rakyat.

Bagai retak menanti belah, akhirnya pada bulan Februari 2020, kerajaan Pakatan Harapan runtuh ekoran pertelingkahan dalam anggota mereka sendiri. Lantas, bagi memastikan pentadbiran negara terus bergerak maka terbentuk kerajaan baharu gandingan BERSATU, UMNO, PAS, dan GPS dengan perkenan Yang Di-Pertuan Agong atas nama Perikatan Nasional.

Cabaran pertama kerajaan Perikatan Nasional ialah menangani penularan pandemik COVID-19 yang menampilkan kecekapan menteri-menteri kanan dari UMNO sebagaimana Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menangani keselamatan negara dengan profesionalisme yang amat mengagumkan.

Ternyata hilang kuasa 22 bulan bukan satu noktah kepada perjuangan UMNO namun kesungguhan dalam melaksanakan khidmat kepada rakyat dilaksana setiap masa

Pada 11 Mei 2020, genap 74 tahun kewujudan parti keramat UMNO dan tentunya kali ini suasananya amat berbeza berbanding dua tahun yang lalu. Biarpun kini UMNO sudah menjadi sebahagian dari kerajaan namun usaha untuk terus berkhidmat kepada rakyat tidak pernah berhenti kerana ia sudah menjadi teras utama parti untuk bersama rakyat.

Sememangnya usia lebih tujuh dasawarsa UMNO ini adalah satu manifestasi dalam kelangsungan parti demi perjuangan alaf baru dari rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat.

Bagi meraikan ulang tahun UMNO ke-74 kali ini, UMNO mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuatkuasa, maka semua ahli UMNO dianjurkan di rumah masing-masing agar mengadakan bacaan Yassin, solat hajat dan doa selamat memohon supaya parti keramat ini dilindungi oleh Allah dan ahli-ahlinya dijauhi daripada malapetaka.
Dalam pada itu, semua ahli UMNO disarankan agar mengibarkan bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ di kediaman atau rumah masing-masing sebagai tanda terima kasih kepada perjuangan parti yang sejak 74 tahun lalu banyak berjasa kepada rakyat negara ini.

Selamat Hari UMNO Ke-74

 


AIMAN JAAPAR

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.