ADUN Lendu Sulaiman Md Ali Ketua Menteri Baharu Melaka

MELAKA, 9 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu Datuk Sulaiman Md Ali daripada Barisan Nasional (BN) hari ini diisytiharkan sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Hasim Hasan.

Sulaiman, 54, yang juga setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka menjadi Ketua Menteri Melaka Ke-12 menggantikan Adly Zahari yang dilantik Ketua Menteri Melaka Ke-11 pada 11 Mei 2018.

Perisytiharan pelantikan itu dibuat Hasim pada Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka Ke-12 dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Istiadat itu berlangsung di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini.

Pada 2 Mac lepas dilaporkan Mohd Khalil mendapat representasi bahawa Adly tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN Melaka sebagai Ketua Menteri Melaka, sehubungan itu Mohd Khalil melantik seorang ADUN sebagai Ketua Menteri yang baharu.

Turut hadir pada istiadat yang berlangsung pada kira-kira 3.30 petang itu ialah isteri Mohd Khalil, Toh Puan Zurina Kassim.

Hadir sama tiga bekas Ketua Menteri Melaka iaitu Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Datuk Seri Idris Haron juga ADUN Sungai Udang.

Bagaimanapun, Adly yang juga ADUN Bukit Katil tidak kelihatan.

Sulaiman yang memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan diiringi isterinya Datin Munira M. Yusop.

Selepas membaca ikrar angkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Sulaiman menandatangani surat angkat sumpah jawatan dengan disaksikan Hasim dan Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

Sulaiman, pernah menjadi Timbalan Exco Perancangan Ekonomi, Pelaburan dan Perindustrian Melaka dari 2013 hingga 2018 di bawah pentadbiran Ketua Menteri Melaka Ke-10 Datuk Seri Idris Haron ketika itu.

Dilahirkan pada 20 Dis 1965 di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, Alor Gajah, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Durian Daun dan Sekolah Menengah Masjid Tanah sebelum melanjutkan pelajaran di Training Cadet Maritime Academy Melaka (ALAM) dan Professional Master in Management QAC (UK).

Sulaiman mendirikan rumah tangga dengan Munira, 53, pada 16 Nov 1991 dan mempunyai dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Beliau dipilih sebagai ADUN Lendu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 pada 2013 selepas menang kerusi itu dengan majoriti 2,503 undi menewaskan calon PAS Asri Shaik Abdul Aziz.

Setiausaha UMNO Bahagian Masjid Tanah itu kemudian mempertahankan kerusi DUN itu pada PRU Ke-14 pada 2018 dengan majoriti 627 undi menewaskan Ridhuan Dion Bakar (PKR) dan Arshad Md Som (PAS). – BERNAMA