Kuasa Mutlak ‘Ikut Suka Saya’… Kerajaan Perpaduan Tidak Jamin Kesuburan Demokrasi – Dr Wee

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berpandangan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan tidak menjamin kepada kesuburan demokrasi yang telah negara praktikkan sejak sekian lama.

Kata Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, ia juga berupaya melenyapkan proses semak dan imbang terhadap kerajaan pemerintah.

“Saya tidak bersetuju sistem Westminster yang sekian lama dilaksanakan di negara kita berubah menjadi sistem Presiden sesebuah republik yang mempunyai kuasa mutlak untuk melantik individu menyertai Jemaah Menteri tanpa melalui parti komponen.

“Saya enggan melihat sistem demokrasi di Malaysia berkembang sehingga tiada lagi peranan pembangkang apabila Perdana Menteri disokong penuh oleh kesemua 222 orang Ahli Parlimen.

“Apakah ini sebuah demokrasi subur yang kita mahu lihat? Soalnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, apabila Perdana Menteri disokong oleh semua Ahli Parlimen, maka kuasa mutlak diberi kepadanya untuk membuat apa saja dengan slogan ‘ikut suka saya’.

“Maka, saya lebih rela menjadi pembangkang untuk memberi ‘semak dan imbang’ kepada kerajaan.

“Sepanjang tempoh peralihan ini, berilah ruang sewajarnya kepada semua pihak agar proses ini dapat berjalan dengan tertib, tenang dan lancar tanpa sebarang kekacauan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam,” katanya lagi.

Ulasnya juga mengenai kemelut politik negara ciptaan Pakatan Harapan (PH) seperti yang diketahui umum, semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah mengadap Yang di-Pertuan Agong (YDP) di Istana Negara, Selasa dan mempersembahkan hasrat untuk membubarkan Parlimen dan menyerahkan keputusan ditentukan oleh YDP Agong.

“Seperti yang saya nyatakan dalam sidang media di PWTC, biarlah rakyat menentukan atau memberi mandat kepada sesiapa yang diyakini mampu untuk mengemudi negara yang terumbang-ambing selepas kegagalan pentadbiran serta tumbangnya PH angkara perbuatan mereka sendiri.

“Keputusan yang saya ambil ini juga selari dengan hasil Mesyuarat Majlis Presiden MCA, beberapa jam sebelum saya mengadap YDP Agong iaitu, sebulat suara bersetuju untuk menyerahkan kepada rakyat bagi menentukan siapa pucuk pimpinan negara menerusi pembubaran Parlimen,” katanya.

Justeru Dr Wee yakin, apa jua keputusan yang bakal dititahkan oleh YDP Agong, ia wajar dipatuhi oleh semua rakyat dan pastinya keputusan itu dibuat demi kepentingan negara secara menyeluruh. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.