Rakyat Boleh Nilai Sikap PH, BN Tidak Gentar Hadapi Lawan Di PRK Kimanis

KIMANIS, 1 Jan – Walaupun kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis belum lagi bermula tetapi sudah ada rungutan daripada pengundi warga emas yang mengatakan mereka diugut, sekiranya tidak mengundi kerajaan maka bantuan untuk warga emas akan ditarik.

awayTimbalan Pengarah Operasi Barisan Nasional (BN) di PRK Kimanis, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sekiranya benar perkara sedemikian berlaku, ia sudah pasti memberi impak negatif kepada kerajaan sendiri.

Jelas beliau, sudah pasti rakyat tidak suka diugut dan secara tidak langsung rakyat boleh menilai sikap kerajaan yang ada hari ini.

“Kini mereka berkuasa jadi mereka boleh buat apa sahaja walaupun perkara yang salah tapi rakyat khususnya pengundi di Kimanis harus sedar, undi mereka tidak ternilai dengan duit.

“Ini kerana undi mereka akan menentukan masa depan nasib rakyat dan negara juga anak cucu cicit kita di masa hadapan.

“Pastinya kita mahu melihat kerajaan dan pemerintahan yang bertanggungjawab dan berwibawa, bukan kerajaaan yang menggunakan kuasa demi kepentingan politik… gila kuasa,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Justeru tegas Tajuddin, rakyat harus menilai dan melihat bahawa Kerajaan PH hari ini iaitu Warisan menjadi sekutunya, tidak menunaikan janji mereka pada PRU-14 yang lalu.

Maka katanya, pengundi di Kimanis harus menzahirkan ketidakpuasan hati mereka melalui peti undi.

“Selain itu, saya juga ingin tegaskan di sini, UMNO dan BN tidak gentar dengan tindak-tanduk pihak lawan di PRK ini. Kita akan berjuang demi kemenangan dan masa depan rakyat,” tegas beliau.

PRK Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman ketika PRU-14 sebagai tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya tersebut, sekaligus menjadikan ia PRK ke-10 selepas PRU-14.

Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti 156 undi.

Beliau memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail menerima 1,300 undi.

Kerusi P176 Parlimen Kimanis merangkumi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Membakut dan Bongawan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.