Sudah Jangka PH Tangguh PSP… Beginilah Jika Utamakan Politik Populis

KUALA LUMPUR, 30 Dis – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah meminta kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membuat kajian mendalam sebelum sesuatu perkara hendak diluluskan.

Beliau berkata demikian berikutan langkah PH memutuskan bahawa pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) yang sepatutnya bermula pada 1 Januari tahun depan akan ditangguhkan.

“PSP tangguh lagi. Namun kita sudah jangka, dan beginilah jika segala dasar atau polisi dibuat tanpa kajian mendalam dan lebih mengutamakan politik populis.

“Kerana itu saya minta Kerajaan PH terutama Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna buatlah kajian memdalam sebelum sesuatu perkara hendak dilakukan,” katanya dalam kenyataan pendek berkaitan isu tersebut di laman Facebooknya, hari ini.

Kemudian tegasnya yang juga Ahli Parlimen Lenggong, jangan lupa bahawa rakyat dan kepentingan negara mesti diutamakan.

Dilaporkan, dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan PSP tidak diteruskan sehingga satu masa yang akan diumumkan kemudian.

Alasannya adalah bagi memberi ruang untuk sesi penerangan dan penjelasan diteruskan dengan tujuan memberi kefahaman dan mempersiapkan rakyat menerima pelaksanaan program PSP ini dan juga bagi proses pendaftaran penerima daripada kelompok M40 yang akan dikendalikan oleh kementerian kewangan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.