PH Perlu Utamakan Tabung Haji, Zaman Najib Sentiasa Pastikan Subsidi Tidak Terjejas


KUALA LUMPUR, 30 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa ingat tujuan utama penubuhan Lembaga Tabung Haji untuk rakyat.

Katanya, penubuhan Lembaga Tabung Haji sejak awal penubuhannya 1969 adalah untuk membantu memudahkan dan menguruskan segala aspek yang menyentuh urusan Haji rakyat Malaysia.

“Justeru, diharapkan Kerajaan PH terutamanya menteri bertanggungjawab, Kekanda YB Dr Mujahid Yusof Rawa harus sentiasa diperingatkan bahawa tujuan utama penubuhan Lembaga Tabung Haji sejak awal penubuhannya 1969 adalah untuk membantu memudahkan dan menguruskan segala aspek yang menyentuh urusan Haji rakyat Malaysia.

“Ini termasuklah menguruskan dana umat Islam ini dengan baik bagi membolehkan sebahagian keuntungan Tabung Haji dimanfaatkan untuk membantu mengurangkan bebanan jemaah melalui penawaran subsidi dan penyediaan perkhidmatan terbaik pada kadar yang terendah,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya.

Jelas beliau, antara perkara yang diberikan keutamaan oleh kepimpinan Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi Perdana Menteri adalah sentiasa memastikan Tabung Haji dapat menyediakan subsidi bagi mengurangkan bebanan jemaah Haji, walaupun jumlah kos subsidi hampir mencecah RM400 juta setahun.

“Untuk rekod sudah lebih 10 tahun, kadar yang perlu dibayar jemaah Haji Malaysia hanyalah RM9,980 berbanding kos sebenar yang sudah mencecah RM22,900.

“Seingat saya ketika berada dalam pentadbiran Kerajaan lama, pernah tiga kali Pengurusan Lembaga Tabung Haji memohon untuk dinaikkan caj Haji kepada jemaah. Namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada waktu itu tidak pernah bersetuju dan sentiasa memperingatkan mengenai matlamat penubuhan Tabung Haji.

“Waktu itu kerajaan membantu Tabung Haji dengan memberikan peluang-peluang perniagaan, pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk hartanah bagi memastikan Tabung Haji punya kekuatan kewangan yang mantap dan perolehi keuntungan yang optimum bagi meneruskan usaha membantu rakyat khususnya jemaah Haji,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.